KERAJAAN TIDAK KOMPROMI ISU GUGAT KEHARMONIAN


YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan memandang serius insiden melibatkan sensitiviti umat Islam kebelakangan ini yang semakin membimbangkan kerana menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama serta tidak akan berkompromi terhadap pihak mencetuskan isu berkaitan pada masa akan datang.

 

Justeru, kerajaan menasihatkan masyarakat agar menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada 26 Februari lalu, yang menekankan kepentingan hubungan antara kaum, memperkukuh perpaduan negara dan tidak memainkan isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

 

Beberapa insiatif dalam rangka melaksanakan titah Seri Paduka Baginda dan meredakan isu berkaitan juga sudah diambil di mana dalam kes penyalahgunaan kalimah Allah di stoking dan kasut, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memanggil pihak berkenaan untuk tujuan siasatan serta amaran keras.

 

Manakala di peringkat Negeri Johor, telah ditubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bagi Menangani Penyalahgunaan Kalimah Allah yang dipengerusikan bersama YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor serta YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.

 

Selain itu, semua Dewan Perniagaan, Persatuan Perdagangan dan Kumpulan Industri diminta memberikan komitmen yang tinggi dalam menangani isu berkaitan supaya tidak berulang di samping kempen kesedaran memelihara kehormatan masyarakat berbilang kaum hendaklah sentiasa disuburkan.

 

Penegasan berkenaan dibuat YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan semalam.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor