BERKAT MULIAKAN GURU, MUFIDAH MUNCUL PELAJAR TERBAIK SDEA 2023


Mufidah Mohamad Saleh (tengah) diumumkan sebagai pelajar terbaik Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) Tahun 2023. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

‘Jangan mengumpat belakang cikgu, nanti ilmu tak berkat’, itulah pesanan yang dititipkan oleh Mufidah Mohamad Saleh, 13, setelah diumumkan sebagai pelajar terbaik Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) Tahun 2023, hari ini.

 

Turut mengingatkan agar menjaga pertuturan seharian, pelajar Sekolah Rendah Agama Bersepadu Johor Bahru (SRABJB) itu akui tidak menyangka memperoleh keputusan agregat 9A dan menjadi pelajar terbaik kerana dirinya hanya belajar seperti biasa setiap hari.

 

Bagaimanapun, beliau memberitahu akan bangun seawal jam tiga pagi yang disifatkan sebagai waktu paling baik memahami dan mengingati ilmu dipelajari selain mengamalkan solat sunat serta sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa dan guru.

 

Mufidah amat berterima kasih kepada kedua ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan kerana sentiasa memberikan semangat serta bantuan dalam pelajaran yang diperlukan sehingga dirinya berjaya meraih kejayaan membanggakan itu.

 

Minat yang mendalam kepada ilmu tajwid, beliau memasang impian untuk menyambung pelajaran dalam bidang agama di samping berusaha untuk mengulangi kejayaan meraih keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) kelak.

 

Secara keseluruhan, Kota Tinggi muncul sebagai daerah terbaik dengan mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.43 pada Majlis pengisyhtiharan keputusan peperiksaan SDEA Tahun 2023 di Sekolah Agama Bandar Kota Tinggi, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor