LIBAT URUS, BENGKEL BERI KEFAHAMAN PRODUK BERKAITAN AGAMA


YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor memaklumkan pihaknya tidak memberi sebarang kompromi terhadap pelaku yang mengganggu gugat sensitiviti dan kemuliaan agama Islam. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kerajaan Johor kekal bertegas dan tidak berkompromi terhadap isu melibatkan sensitiviti agama dan kemuliaan Islam seperti yang berlaku sejak kebelakangan ini.

 

Sekalipun pihak yang didakwa telah disiasat dan memberikan penjelasan, perkara melibatkan sensitiviti agama tidak boleh dijelaskan hanya dengan keterangan atas sekeping kertas sahaja.

 

Akui bimbang ketidakprihatinan rangkaian pasar raya terkemuka berkait isu ‘sejadah mini’, YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor mahu reka bentuk produk itu diperbaiki.

 

Beberapa inisiatif juga akan diambil bagi menerangkan lebih jelas berkaitan pengeluaran dan penjualan produk berkaitan agama antaranya sesi libat urus dan bengkel bersama pembekal, penjual dan dewan perniagaan.

 

Berhubung isu ‘doa kepada pemimpin’, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sudah diarah menyegerakan penyediaan draf teks khutbah disifatkan berkeperluan khas sebelum diedarkan kepada khatib bagi menjelaskan tanggungjawab mendoakan sesama muslim termasuk kepada pemimpin.

 

Terdahulu, Mohd Fared ditemui media selepas Majlis Pengisyhtiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) Tahun 2023 di Sekolah Agama Bandar Kota Tinggi, hari ini.

 

#BangsaJohor

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor