BOMBA JOHOR SEDIA HADAPI MTL


Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan Hari Pengujian Logistik Banjir Sempena Persediaan MTL Tahun 2024, hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Seramai 1,462 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor sudah bersiap siaga bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula akhir bulan ini.

 

Pelbagai aspek persediaan dirancang termasuk arahan kesiapsiagaan yang telah dikeluarkan kepada 34 balai bomba seluruh negeri ini, untuk digerakkan pada bila-bila masa selain menjalani latihan dan kursus bagi memantapkan kemahiran anggota penyelamat.

 

Sebanyak 38 kenderaan pacuan empat roda, 10 lori dan 45 kenderaan marin juga berada dalam keadaan baik selepas menjalani pengujian logistik secara serentak sekali gus bersedia untuk digerakkan ke lokasi kecemasan sekiranya diperlukan.

 

Selain itu, JBPM Negeri Johor telah mengenal pasti 745 lokasi hotspot banjir yang secara tidak langsung membantu pasukan lebih bersedia dan memberi maklumat awal kepada penduduk di kawasan terlibat agar sentiasa peka serta bersedia menghadapi bencana.

 

Terdahulu, YS Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (PKPjB) Siti Rohani Nadir, Pengarah JBPM Negeri Johor melakukan tinjauan Hari Pengujian Logistik Banjir Sempena Persediaan MTL Tahun 2024 di Ibu Pejabat JBPM Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor