BUBUR LAMBUK OMJ@JOHOR BAHRU MERIAH


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyantuni petugas Program OMJ@Johor Bahru.

 

JOHOR BAHRU — Program Bubur Lambuk Orang Muda Johor (OMJ) Johor Bahru di PPR Sri Stulang, di sini, berlangsung meriah dengan aktiviti gotong royong melibatkan agensi dan jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama masyarakat setempat.

 

Turut hadir menyerikan majlis adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin.

 

Hadir sama, Ketua Pengimbang Kerajaan Dewan Negeri Johor, Andrew Chen Kah Eng merangkap ADUN Stulang serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar.

 

Mohd Hairi tidak ketinggalan membantu menyediakan juadah yang sinonim dengan bulan Ramadan.

 

Mohd Hairi berkata, program tersebut merupakan kali kedua dianjurkan di bawah Pusat Pembangunan Belia Johor (JOYDEC) selepas yang pertama di Pejabat Daerah Kulai pada 2 April lalu.

 

Ujarnya, sebanyak 12 periuk bubur lambuk dimasak secara bersama oleh kira-kira 600 petugas pelbagai lapisan usia serta latar belakang termasuklah kakitangan agensi dan jabatan kerajaan di bawah portfolionya.

 

“Kita dapat melihat (menerusi program) permuafakatan yang terjalin selain kita mengacau bubur lambuk. Seperti yang saya inginkan iaitu (terjalin) permuafakatan dan perpaduan di kalangan masyarakat Johor Bahru khususnya DUN Stulang.

 

“Dianggarkan 4,000 bekas (bubur lambuk) yang akan kita edarkan (terutama) sekitar PPR Seri Stulang ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meluangkan masa mengacau bubur lambuk serta menyantuni petugas-petugas program berkenaan.

 

Petugas memasukkan bubur lambuk yang siap dimasak sebelum diedarkan kepada orang ramai.

 

Beliau turut berterima kasih kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama seluruh Pegawai Tadbir Negeri Johor yang terus mendukung usaha murni dilakukan oleh Ahli Dewan Negeri.

 

“Tanpa mereka juga, mana mungkin program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Terima kasih YB Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ On Jabbar yang sentiasa memberikan semangat dan inspirasi kepada anak-anak muda selain membantu saya,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor