PENINGKATAN PEMBUANGAN SISA PEPEJAL PADA RAMADAN


Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir diiringi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Malaysia, Ismail Mokhtar semasa majlis pelancaran di Horizon Hill, semalam.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 252,521 tan sisa pepejal dikutip oleh SWM Environment Sdn Bhd sepanjang Ramadan tahun lalu berbanding tempoh sama yang dicatatkan pada 2019 iaitu sebanyak 208,143 tan.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata daripada jumlah itu didapati 44.5 peratus daripadanya adalah sisa makanan dan secara tidak langsung menjadi nilai yang besar daripada sisa pepejah yang dikutip.

 

“Sememangnya hasrat kita yang paling utama adalah melibatkan pihak media bagi menghebahkan usaha atau kempen kita untuk mengurangkan sisa pepejal terutamanya sisa makanan. Ini kerana pengurusan sisa makanan ini yang kalau diuruskan dengan lebih baik, ia dapat memudahkan atau mengurangkan beban di pihak operasi.

 

“Kalau kita lihat dari segi data itu sendiri, memang ada peningkatan dari tahun ke tahun iaitu sebanyak 21 peratus dalam tempoh lima tahun,” katanya Majlis Pelancaran Operasi SWM Environment Negeri Johor sempena Hari Raya Aidilfitri, semalam.

 

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor; Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Malaysia, Ismail Mokhtar; Pengarah SWCorp Johor, Cairul Hisham Jalaluddin dan Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Fizwan Dato’ Mohd Rashidi.

 

Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, justeru pihaknya mengambil maklum mengenai keperluan SWM melakukan persiapan bagi melaksanakan tugas kutipan sepanjang perayaan Aidilfitri kali ini dengan lebih lancar.

 

“Kita juga memerlukan kerjasama daripada orang awam supaya operasi kutipan sisa pepejal ini dapat berjalan lancar termasuklah isu parkir kenderaan hendaklah diletakkan dengan sempurna supaya ia tidak menghalang pergerakan lori SWM,” katanya.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, seramai 4,475 pekerja akan ditugaskan dengan pengoperasian pembersihan sisa pepejal di seluruh Malaysia.

 

Katanya, ia termasuk penggunaan 588 buah lori SWM di 15 zon seluruh Malaysia yang akan digerakan secara aktif semasa sambutan perayaan tahun ini.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor