PROJEK KAWALAN KUALITI AIR SUNGAI SIAP MEI INI


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh menerima taklimat daripada Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) | Sumber foto Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Enam stesen telemetri sedang dibina dan dijangka siap pada Mei ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

 

Menurutnya, kesemua stesen tersebut dibina di Sungai Sayong, Sungai Semanggar, Sungai Skudai, Sungai Benut dan Sungai Muar.

 

“Stesen telemetri ini bertujuan untuk mencerap data kualiti air dan paras air sungai serta memberi amaran awal sekiranya pencemaran kualiti air dikesan,” katanya seperti dipetik daripada siaran dimuatnaik di Facebook rasminya, hari ini.

 

Sementara itu, Mohamad Fazli berkata, projek Geopatial Pencemaran Sungai Skudai yang bertujuan untuk menganalisa punca-punca pencemaran di Sungai Skudai juga dijangka boleh digunakan bermula Mei ini.

 

“Data ini diperlukan bagi mempercepatkan tindakan kawalan dan penguatkuasaan terhadap pencemar,” katanya.

 

Terdahulu, beliau menerima taklimat daripada Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) diketuai pengarahnya, Natazha Hariss berserta barisan pegawai agensi itu mengenai kedua-dua projek tersebut.

 

“Projek-projek ini akan dipantau secara berkala kerana ianya mempunyai kepentingan bagi mengawal kualiti air mentah negeri Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor