BUKAN UNTUK MENYUSAHKAN MANA-MANA PIHAK – MDM


Kios yang dibina di kawasan tapak penjaja oleh Majlis Daerah Mersing (MDM) bagi keselesaan dan kemudahan kepada pihak peniaga serta pembeli | Foto Ihsan, FB My Mersing.

 

ISKANDAR PUTERI — Pembinaan kios di kawasan tapak penjaja di Taman Nakhoda, Taman Sri Mersing dan Taman Wawasan, dekat Mersing bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak.

 

Sebaliknya, prasarana tersebut dibina bagi penyusunan semula peniaga demi keselesaan dan kemudahan kepada pihak peniaga serta pembeli.

Majlis Daerah Mersing (MDM) memaklumkan kawasan tapak penjaja terbabit telah diberikan nafas baru dengan pembinaan 20 kios bagi membolehkan peniaga berniaga dengan lebih teratur dan tersusun.

 

“Selain itu, penempatan kios secara teratur dapat memberikan impak landskap yang lebih indah dan kemas.

 

“Kios yang siap dibina pada awal tahun 2022 telah diserahkan kepada peniaga pada 31 Julai 2022 dan diharap dapat memberikan situasi menang-menang di antara pihak PBT, peniaga dan pembeli di kawasan tersebut,” jelas MDM dalam kenyataan menerusi siaran dimuat naik dalam Facebook rasmi.

 

MDM turut memaklumkan pembaikan terhadap kecacatan sudah dibuat berdasarkan aduan yang diterima daripada peniaga.

 

“Untuk makluman juga, MDM telah memberikan pengecualian bayaran sewaan kepada semua peniaga selama dua tahun bermula 2021- 2022 berikutan pandemik COVID-19.

 

“Selain itu, segala aduan kerosakan perlu disalurkan mengikut saluran yang betul iaitu ke Unit Aduan Awam MDM di talian +60 18 760 4533 untuk tindakan Jabatan Kejuruteraan,” jelas MDM lagi.

 

MDM memberitahu aktiviti baik pulih bangunan akan dibuat secara berperingkat mengikut keperluan semasa untuk tahun ini.

 

Justeru, peniaga dinasihatkan untuk mencari identiti tersendiri terhadap menu jualan bagi menarik pelanggan dan tidak menjual menu sama bersebelahan serta mengikut citarasa pembeli terutama bagi kawasan tumpuan pelancong.

 

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab keluhan awam mengenai kawasan tapak penjaja terbabit yang dimuat naik dalam sebuah kumpulan awam berkaitan daerah Mersing di laman Facebook.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor