EXCO KERAJAAN PASTIKAN KEPERLUAN, KEMUDAHAN SEKOLAH AGAMA TERJAGA


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, baru-baru ini, mengadakan lawatan ke Sekolah Agama Bandar Penawar dan Sekolah Agama Punggai di Kota Tinggi bagi memantau keperluan kedua-dua sekolah tersebut. | Sumber foto: Facebook Mohd Fared Mohd Khalid.

 

ISKDANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri memandang serius situasi kekurangan keperluan sekolah agama di negeri ini bagi memastikan kelancaran pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, baru-baru ini, mengadakan lawatan ke Sekolah Agama Bandar Penawar dan Sekolah Agama Punggai di Kota Tinggi bagi memantau keperluan kedua-dua sekolah tersebut.

 

“Saya dapati murid-murid di sini (Sekolah Agama Bandar Penawar) hanya dapat mengikuti sesi PdP selama tiga hari sahaja dalam seminggu kerana terpaksa bergilir-gilir hadir ke sekolah berikutan jumlah murid yang ramai.

 

“Pembinaan bangunan baharu sememangnya mampu menampung jumlah pelajar yang ramai, namun ia melibatkan pelan pembangunan dan kos tertentu,” katanya dalam laman Facebook rasminya.

 

Mohd Fared berkata, bagaimanapun, beliau yakin masih ada jalan penyelesaian bagi memastikan murid-murid sekolah agama ini dapat mengikuti lima hari sesi PdP seperti sedia kala.

 

“Akan ada pelan jangka sederhana yang kita pertimbangkan dan ia (isu ini) akan segera diselesaikan,” tambahnya dalam kenyataan yang sama.

 

Terdahulu, beliau melakukan lawatan ke Sekolah Agama Bandar Penawar itu yang turut disertai ADUN Penawar, Fauziah Misri bersama Pegawai Pendidikan Islam Daerah Kota Tinggi, Sulaiman Aziz.

 

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Mohd Fared memaklumkan lawatannya ke Sekolah Agama Punggai pula mendapati berlaku kerosakan infrastruktur seperti bumbung, gegulung dan siling sekolah akibat kejadian ribut sebelum ini dan selain masalah anai-anai.

 

“Justeru, kita (Kerajaan Negeri) sudah luluskan peruntukan sebanyak RM132,000 untuk proses baik pulih kerosakan yang terlibat demi keselamatan dan keselesaan guru serta murid di sekolah ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor