BUKU ‘RARE’ DI PUSAT DOKUMENTASI YWJ


Nur Aqilah Asyiqin memegang surat khabar lama dikenali Lembaga Malaya yang dikarang sendiri oleh Dato’ Onn Jaafar sewaktu beliau menjadi wartawan di Singapura sekitar tahun 1930an | FOTO MDJ, Nurina Aisyah.

 

JOHOR BAHRU — Bahan bacaan habis cetak serta karya koleksi nadir terbitan dalam dan luar negara sebelum 1950-an menjadi antara khazanah berharga tersimpan rapi di Pusat Dokumentasi Yayasan Warisan Johor (YWJ).

 

Lebih menarik, semua koleksi ‘rare’ dan eksklusif di pusat dokumentasi itu boleh diakses orang ramai mengikut syarat dan terma yang ditetapkan bagi memastikan ia berada dalam keadaan terpelihara.

 

Penolong Pustakawan, Bahagian Persuratan dan Sejarah YWJ, Nur Aqilah Asyiqin Mohd Diah berkata, sebanyak 11,000 naskah buku dihimpunkan Pusat Dokumenatasi YWJ membabitkan pelbagai genre seperti sejarah, kesenian, warisan dan kebudayaan.

 

“Koleksi karya unik ini meliputi bahan bacaan berbentuk tesis, keratan akhbar, koleksi umum, majalah, laporan agensi, buletin dan ensiklopedia yang berkaitan keunikan yang terdapat di negara ini, khususnya di Johor.

 

“Antara contoh bahan yang sering menjadi tarikan orang awam adalah mengenai bangunan bersejarah, institusi diraja, pelancongan dan sejarah pertubuhan yang terdapat di negeri ini,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor, di sini, semalam.

 

Nur Aqilah Asyiqin memaklumkan antara koleksi nadir yang menjadi perhatian adalah surat khabar lama dikenali dengan nama Lembaga Malaya.

 

“Lembaga Malaya merupakan surat khabar yang dikarang sendiri oleh Dato’ Onn Jaafar (tokoh nasional Tanah Melayu) sewaktu beliau sendiri menjadi wartawan (selain pernah menjadi pengarang) di Singapura sekitar tahun 1930an,” katanya.

 

Beliau yang sudah berkhidmat selama tujuh tahun pusat berkenaan berkata, koleksi himpunan buku itu hasil daripada usaha secara pembelian, pencarian mahupun sumbangan pihak luar dilaksanakan oleh YWJ sebelum ini.

 

“Setiap tahun kita akan berusaha membeli buku terbitan lama dan baharu terutama karya yang mempunyai kaitan dengan Negeri Johor, selain cuba mendapatkan makalah daripada pihak luar seperti pakar akademik, mantan karyawan tamu dan pelajar.

 

“Kita juga ada menerima sumbangan dan wakaf dari orang awam yang mana kita akan nilai sama ada ia mempunyai kaitan dengan Johor ataupun tidak. Walaupun hanya sehelai kertas, kalau ia ada nilai berkaitan Johor, kita akan simpan dan mendokumentasikannya dengan cara yang betul,” katanya.

 

Selain mempunyai minat yang mendalam terhadap sumber sekunder tersebut, Nur Aqilah Asyiqin juga menzahirkan kesungguhan dalam memelihara naskah buku itu agar tidak hilang dan dilupakan akibat peredaran zaman.

 

“Setiap negeri mesti mempunyai sejarah masing-masing dan begitu juga dengan Johor. Justeru, dengan kaedah menyimpan secara rapi dan tertib semua naskah terbabit akan membolehkannya terus memberi manfaat kepada generasi akan datanng termasuk mereka yang hendak mendalami sejarah Johor,” katanya.

 

Kata beliau, bagi memperkasakan lagi koleksi karya mengenai Johor, Pusat Dokumentasi YWJ sentiasa terbuka dan berusaha mendapatkannya supaya menjadi antara ‘harta karun’ berharga yang disimpan yayasan.

 

“Orang awam yang mempunyai naskah berkaitan Johor boleh datang ke Pusat Dokumentasi YWJ ini. Insya Allah, kami akan berusaha mendokumentasikan dan menjaga rapi bahan tersebut selain dijadikan koleksi rujukan orang awam.

 

“Pusat Dokumentasi YWJ yang beroperasi mengikut urusan waktu pejabat ini turut mempunyai ruangan ‘koleksi nadir’ yang turut menghimpunkan terbitan dari dalam dan luar negara sebelum tahun 1950an atau terbitan habis cetak yang sudah tiada lagi dalam pasaran,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor