FKAAB UTHM ANJUR KURSUS SEMAK ARAH KIBLAT


80 peserta dari seluruh daerah Batu Pahat mengikuti kursus asas penentuan arah kiblat sempena ‘National Training Week’ (NTW) 2023 anjuran Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), pada 28 Mei lalu. | Foto Ihsan UTHM.

 

ISKANDAR PUTERI — Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan satu kursus asas penentuan arah kiblat sempena ‘National Training Week (NTW) 2023’ pada 28 Mei lalu secara dalam talian.

 

Kursus yang melibatkan lebih 80 peserta dari seluruh daerah Batu Pahat itu disampaikan oleh Profesor Madya. Sr Dr. Mustaffa Anjang Ahmad dari FKAAB dan dibantu oleh moderator Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi itu bertujuan untuk memberi pendedahaan kepada komuniti berkaitan kaedah-kaedah penentuan arah kiblat.

 

Ketua Center of Applied Geomatics and Disaster Prevention (CAGeD) Dr. Mustaffa berkata, kursus tersebut bertujuan untuk memberi pendedahaan kepada komuniti berkaitan kaedah-kaedah penentuan arah kiblat.

 

“Sebelum ini, hasil pemeriksaan Persatuan Falak Negeri Selangor mendapati daripada 5,000 kediaman atau premis yang diperiksa, 2,000 daripadanya menggunakan arah kiblat yang kurang tepat.

 

“Walaupun ianya tidak berlaku di Negeri Johor tetapi pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah mula menggerakkan kempen semakan arah kiblat sejak awal Mei lalu dengan fasa pertama melibatkan premis kerajaan dan sekolah di 10 daerah di negeri ini,” katanya.

 

Tambah Dr. Mustaffa, penentuan arah kiblat di Malaysia dilakukan dengan perhitungan falak dan penggunaan peralatan seperti kompas prismatik dan total station.

 

“Arah kiblat juga boleh ditentukan berdasarkan kedudukan matahari dan bintang-bintang di langit yang telah lama diamalkan oleh umat Islam seluruh dunia. Bagi Malaysia, arah kiblat ke Kaabah adalah dari arah 290–292 darjah mengikut lokasi paling selatan di Johor dan paling utara di Tawau,” katanya.

 

Jelas Dr. Mustaffa, beberapa kaedah boleh digunakan bagi menentukan arah kiblat iaitu kaedah kiraan matematik, kedudukan bintang, matahari terbenam dan juga bayang matahari, peralatan kompas prismatik dan total station iaitu melalui peristiwa Istiwa A’zham serta penggunaan aplikasi Android.

 

“Peristiwa Istiwa A’zham berlaku pada 28 Mei dan 16 Julai setiap tahun. Ketika waktu zohor di Mekah, kedudukan matahari berada di atas Kaabah dan bayang sesuatu objek di seluruh dunia akan menunjukan ke arah Kaabah.

 

“Kejadian ini berlaku pada jam 5:18 petang pada 28 Mei lalu dan jam 5:27 petang pada 16 Julai akan datang. Kita boleh melihat bayang matahari dengan melihat bayang tingkap di kediaman masing-masing pada Ketika itu.

 

“Ini adalah peluang bagi kita untuk menyemak arah kiblat dengan mudah tanpa menggunakan kaedah yang lain,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor