TIADA KOMPROMI, DUA TASKA DIARAH HENTI OPERASI


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail melawat salah satu TASKA di Skudai.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor tidak berkompromi kepada taman asuhan kanak-kanak (TASKA) yang gagal menjaga hak kanak-kanak di bawah tanggungan dan kakitangan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, kerajaan negeri komited memastikan semua TASKA di negeri ini, tempat kondusif bagi pembesaran dan pembelajaran kanak-kanak.

 

Menurutnya, ‘task force’ bersepadu telah dijalankan melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ke atas dua TASKA di Skudai, semalam.

 

“Kami dapati isu yang sama juga terjadi di mana TASKA yang kami lawati ini meletakkan kanak-kanak melepasi had umur TASKA yang bersesuaian iaitu empat tahun serta TASKA yang tidak mempunyai lesen, tetapi tetap menjalankan operasi.

 

“Bagi mengelakkan sebarang isu pada masa hadapan, arahan penutupan operasi telah dikeluarkan terhadap kedua-dua TASKA tersebut dan Kerajaan Negeri melalui JKM Negeri Johor akan terus memastikan bahawa TASKA yang tidak mempunyai lesen ini sama sekali tidak boleh beroperasi,” katanya.

 

Khairin-Nisa berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak terutama ibubapa atau penjaga serta pengusaha memastikan kebersihan dan keselamatan persekitaran TASKA terjaga.

 

Selain itu, katanya, keterlibatan PERKESO dalam ‘task force’ berkenaan bagi memastikan kebajikan kakitangan di setiap TASKA di negeri ini, terjaga.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor