CADANGAN LALUAN KONTRA ATASI KESESAKAN BSI, KSAB


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata cadangan itu hasil perbincangan yang dilaksanakan bersama pihak pengurusan Bangunan Sultan Ismail dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), semalam. | FOTO IHSAN, FB Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memperhalusi cadangan kaedah laluan kontra bagi mengatasi masalah kesesakan di dua pintu keluar masuk Malaysia-Singapura.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata cadangan itu hasil perbincangan yang dilaksanakan bersama pihak pengurusan Bangunan Sultan Ismail dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), semalam.

 

“Syukur Alhamdulillah, saya telah mengadakan perbincangan bersama pengurusan BSI dan KSAB.

 

“Antara perkara yang dibincangkan adalah cadangan laluan kontra untuk pejalan kaki dan bas pada waktu luar jangka iaitu semasa Malaysia dan Singapura berada pada musim cuti sekolah atau cuti umum seperti yang berlaku tempoh hari,” katanya dalam laman Facebook rasminya, semalam.

 

Onn Hafiz berkata, susulan daripada perbincangan itu menghasilkan beberapa cadangan proaktif yang diyakini mampu mengatasi masalah berkenaan.

 

“Antara solusi dari agensi berkaitan ialah kaedah pelaksanaan laluan kontra dan ia akan diperhalusi lagi oleh pihak KDN dan JIM sebelum dikuatkuasakan.

 

“Saya berharap agar semua agensi terlibat untuk bekerjasama erat dalam memastikan kelancaran trafik di kedua-dua arah (inbound dan outbound) berada di tahap optimum dan sentiasa bersiap siaga dengan sebarang (kemungkinan berlaku aliran) trafik luar jangka,” katanya.

 

Beliau berkata, pihaknya juga menzahirkan jutaan penghargaan kepada seluruh agensi terlibat, yang bertugas siang dan malam di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) BSI dan KSAB.

 

“Saya berbangga dengan perubahan positif yang amat ketara dan berharap momentum ini kekal konsisten,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor