JOHOR TERUS MELESTARI BIODIVERSITI PERIKANAN AIR TAWAR


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip hadir menyempurnakan pelepasan benih di tiga lokasi dekat Segamat, semalam. | Sumber gambar: Facebook Dato’ Zahari Sarip.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor komited dalam usaha memulihara dan memastikan kelestarian biodiversiti perikanan air tawar di negeri ini dapat dicapai.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip, berkata sebanyak 200,000 benih udang galah telah dilepaskan di tiga lokasi di sekitar daerah Segamat, semalam.

 

“Kami melepaskan 200,000 benih udang galah di perairan sungai Kampung Tekam, Kampung Kuala Paya dan Kampung Lubok Kepong dengan peruntukan sebanyak RM60,000 bagi tujuan program hari ini (semalam).

 

“Sehingga awal Jun ini, lebih 400,000 benih pelbagai spesies ikan dan udang telah dilepaskan ke sungai-sungai di Negeri Johor setakat tahun ini,” tulisnya dalam akaun Facebook rasminya.

 

Terdahulu, Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap menghadiri Program Pelepasan Benih Perikanan ke Perairan Umum Negeri Johor di Segamat, semalam.

 

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor, Zainuddin Abd Wahab; ADUN Kemelah, N. Saraswati; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat, Ungku Mohd Tahir Ungku Mohd Zakaria dan Penolong Pegawai Daerah Segamat, Muhammad Lutfi Abas.

 

Zahari berkata, program pelepasan benih ikan atau udang galah yang dilaksanakan adalah inisiatif Kerajaan Negeri Johor dalam memulihara sumber perikanan sekaligus mengekalkan kelestarian biodiversiti perikanan tempatan.

 

“Pemuliharaan sumber perikanan akan dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat terutama membabitkan komuniti nelayan darat di negeri ini.

 

“Semoga program seumpama ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat khususnya mereka yang terlibat dengan kegiatan tangkapan hasil sungai,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor