CITRA HUBUNGAN JOHOR – SINGAPURA


YB Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Persahabatan antara Johor dan Singapura sejak dahulu lagi telah menggambarkan hubungan unik serta istimewa sedia terjalin yang bersifat ‘compliment each other’. Dari segi sejarah, Johor bukanlah ‘backyard’ kepada Singapura bahkan jauh sekali bersaing dengan negara jiran.

 

Ini kerana Johor terutama Johor Bahru sebenarnya telah pesat membangun dan muncul sebagai sebuah bandar pusat perdagangan yang saling melengkapi dengan Singapura yang menghadirkan limpahan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

 

Mengulas lanjut, YB Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman memaklumkan keakraban Johor dan Singapura sehingga ke hari ini merupakan kesinambungan legasi DiRaja diwarisi daripada kebitaraan kepemimpinan Kesultanan Johor Moden diasaskan oleh Almarhum Dato’ Temenggong Tun Daeng Ibrahim Sri Maharaja.

 

Beliau yang merupakan Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor menegaskan adalah tidak adil sekiranya wujud pemikiran dangkal yang menganggap Johor sebagai ketinggalan berbanding dengan negara jiran dan negeri-negeri lain dari sudut pembangunan ekonomi.

 

Sebaliknya, semua pihak perlu mendalami malah memahami konteks hubungan persahabatan yang terjalin antara Johor dan Singapura yang melengkapi antara satu sama lain seterusnya dibuktikan dengan pembinaan Tambak Johor sebagai sambungan darat pertama merentasi Selat Tebrau.

 

Dengan struktur binaan yang menginjak usia 100 tahun perasmianya pada Jumaat ini, Prof. Dato’ Dr. Kassim menyifatkan kemajuan dikecapi Johor dan Singapura berikutan kedudukan geografi yang sangat strategik di samping sokongan ‘koswe’ sebagai nadi pergerakan ekonomi rentas sempadan sejak tahun 1924.

 

Malah, struktur Tambak Johor juga mempunyai nilai sejarah tersendiri dalam membentuk landskap pembangunan negeri termasuk menjadi konotasi dalam mencetuskan kemajuan ekonomi, mengukuhkan hubungan persahabatan serta menjadi tanda hubungan diplomatik yang erat antara Johor dan Singapura.

 

Ulang tahun ke-100 Tambak Johor yang bakal disambut dan diraikan pada 28 Jun ini secara tidak langsung membawa mesej yang signifikan kepada dunia bahawa keutuhan struktur binaan atas kebijaksanaan Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar perlu dipelihara.

 

Dilihat berperanan mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan ekonomi dunia, beliau turut melihat tiada keperluan menggerakkan cadangan menggantikan Tambak Johor kerana ‘koswe’ telah menjadi saksi sejarah kemajuan ekonomi dan persahabatan bersama Singapura.

 

#100TahunTambakJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor