DEWAN NEGERI JOHOR YAKIN KEBITARAAN SULTAN JOHOR SEBAGAI KETUA NEGARA


Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Haji Mohd Puad Zarkashi menzahirkan keyakinan terhadap pemerintahan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17. | Foto MDJ Bayu Anggara.

 

Dewan Negeri Johor menzahirkan keyakinan terhadap pemerintahan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17.

 

Penzahiran tersebut dibuat oleh Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Haji Mohd Puad Zarkashi dalam pemasyhurannya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2024) bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

Selain merafak sembah ucapan tahniah dan ikrar taat setia, Dewan Negeri Johor turut mendoakan Malaysia terus diberkati dengan nikmat kemakmuran dan perpaduan di bawah pemerintahan Baginda Tuanku Sultan.

 

Dewan Negeri Johor juga menjunjung setinggi-tinggi kasih dan tahniah berserta ucap selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan DYMM Sultan Johor, semalam, dan mendoakan Baginda Tuanku Sultan sentiasa di dalam kerahmatan Allah SWT dan dipeliharakan kesihatan.

 

Dalam pemasyhuran sama, Dewan Negeri Johor merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi yang dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.M.I.J) yang membawa gelaran ‘Dato’.

 

“Dewan berkongsi kesyukuran kerana penganugerahan itu adalah satu pengiktirafan kepada kegigihan dan kejayaan YAB memacu Johor sebagai negeri yang maju dan stabil,” kata Speaker Dewan Negeri Johor.

 

#BelanjawanJohor2024
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor