ABDUL HALIM DIPILIH SEBAGAI AHLI DEWAN NEGARA MEWAKILI JOHOR


Pencalonan Abdul Halim dikemukakan oleh Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi selepas Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mengumumkan usul Pemilihan Ahli Dewan Negara. | Foto MDJ Nurina Aisyah.

 

Dewan Negeri Johor hari ini, bersetuju memilih bekas Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Puteri Wangsa, Dato’ Abdul Halim Suleiman sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili negeri ini.

 

Pencalonan Abdul Halim dikemukakan oleh Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi selepas Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mengumumkan usul Pemilihan Ahli Dewan Negara.

 

Cadangan nama itu kemudiannya disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip yang seterusnya mendapat persetujuan majoriti Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor.

 

Abdul Halim berusia 61 tahun yang merupakan Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Puteri Wangsa selama dua penggal bermula tahun 2004 hingga 2013.

 

Selain itu, beliau juga kini menjawat pelbagai jawatan dalam bidang sukan iaitu Ahli Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Timbalan Presiden Sepak Takraw Malaysia, Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor dan Presiden Superbikers Association Malaysia (SAM).

 

Beliau turut bergiat aktif dalam aktiviti kebajikan menerusi badan bukan kerajaan (NGO) dan merupakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Prihatin Tebrau selain merupakan pengerusi beberapa syarikat.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor