KERAJAAN JOHOR BENTANG BELANJAWAN SURPLUS DUA TAHUN BERTURUT-TURUT


Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi membentangkan Belanjawan Johor 2024 bertemakan ‘Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat’. | Foto MDJ Wira Anggara.

 

Kerajaan Johor hari ini membentangkan Belanjawan Johor 2024 yang merupakan belanjawan lebihan RM4.21 juta pada Mesyuarat Keempat bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

Belanjawan negeri bagi tahun hadapan dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi bertemakan ‘Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat’ itu telah mencatatkan ‘surplus’ untuk dua tahun berturut-turut.

 

Pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri mengunjurkan hasil sebanyak RM1.804 bilion, manakala unjuran perbelanjaan adalah RM1.799 bilion menjadikan Belanjawan Johor 2024 adalah ‘surplus budget’, dengan RM1.163 bilion bagi tujuan Belanja Mengurus.

 

Unjuran hasil tersebut menyaksikan peningkatan RM69.96 juta atau 4.03 peratus berbanding tahun lalu. Berdasarkan anggaran tersebut, sebanyak RM858.93 juta disumbangkan melalui cukai langsung sementara RM31.67 juta cukai tidak langsung.

 

Berpaksikan enam teras dalam Agenda Maju Johor, Belanjawan Johor 2024 didukung 29 strategi dan disokong ampuh 99 inisiatif itu merupakan sebuah belanjawan komprehensif yang berkait rapat dengan perancangan masa hadapan.

 

Kesemua teras berkenaan adalah Tadbir Urus Kerajaan (Teras Satu); Pembangunan Ekonomi (Teras Dua); Jaringan Keselamatan Sosial (Teras Tiga); Kemudahan dan Keperluan Asas (Teras Empat); Keselamatan, Kebersihan dan Kelestarian Alam Sekitar (Teras Lima) serta Orang Muda Johor (Teras Enam).

 

Selain itu, Menteri Besar turut memaklumkan kejayaan kutipan hasil RM1.767 iaitu melebihi 100 peratus berbanding unjuran terimaan RM1.734 bilion dalam Belanjawan Johor 2023, sehingga 22 November lalu.

 

#BelanjawanJohor2024
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor