DOMINASI AKAR UMBI JDT
#IskandarPuteri – Di kala ramai yang membicarakan tentang status pemain warisan negara, mungkin ada yang terlupa dengan pembangunan akar umbi bola sepak yang bakal menjadi pelapis kepada skuad senior pada masa akan datang.
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan sebuah organisasi yang serius dalam pembangunan akar umbi bola sepak dan kini perlahan-lahan membina tapak yang kukuh untuk masa hadapan. Program pembangunan yang impresif bakal melahirkan bakat-bakat baharu dalam bola sepak tanah air. Aplikatif yang diadaptasi daripada kuasa besar bola sepak dunia digunakan sebaik mungkin bagi menjadikan program pembangunan ini begitu sistematik dan menuju ke arah hala tuju yang jelas.
Akademi JDT adalah satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional penuh di Malaysia yang mengutamakan sistem pendidikan, lengkap dengan kemudahan penginapan, sistem latihan bola sepak dan laluan kerjaya kepada pelatih. Setelah dianugerahkan lencana Akademi Dua Bintang Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di bawah Skim Remaja Elit AFC (Bawah 12 hingga Bawah 19), akademi ini telah menjadi destinasi utama bagi pemain bola sepak akar umbi yang bercita-cita tinggi.
Hasil daripada sistem yang tersusun, akademi bola sepak terbaik di Asia Tenggara ini telah mengumpul sejumlah 41 piala pasukan junior sejak penubuhan. Tahun 2024 juga menyaksikan akademi JDT mendominasi hampir keseluruhan kejohanan yang diadakan dalam dan luar negara. Bermula dengan akademi JDT bawah 17 tahun yang mempertahankan kejuaraan Liga Piala Remaja Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selama dua tahun berturut-turut.
Dua pasukan akademi JDT yang bertanding di seberang tambak dalam kejohanan Liga Remaja Singapura 2024 telah membuktikan bahawa akademi ini berada di landasan yang terbaik. Bagi kejohanan liga bawah 13 tahun, skuad tersebut melakar kejayaan tanpa sebarang kekalahan dengan jumlah 61 gol manakala skuad bawah 15 tahun berjaya menjulang kejuaraan dengan memenangi 12 perlawanan hasil jumlah jaringan 72 gol.
Akademi JDT bawah 14 tahun pula tampil cemerlang pada saingan Piala Supermokh 2024 apabila skuad ini muncul juara selepas kemenangan 2-1 di perlawanan akhir menundukkan wakil akademi Thailand, Buriram United. Pentas yang menjadi medan terbaik bagi akademi seluruh dunia menguji kekuatan ini menyaksikan kapten pasukan, Fareez Danial menjadi pemain paling menyerlah sepanjang kejohanan berlangsung.
Skuad Piala Belia, JDT IV menebus kehampaan perlawanan akhir musim lalu selepas muncul juara menewaskan Terengganu FC IV, 5-3 dalam aksi timbal balik kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. Skuad ini berjaya melakar rekod baharu dengan agregat 7-5 selepas terikat 2-2 dalam perlawanan timbal balik pertama di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor.
Bagi melengkapkan dominasi tahun 2024, skuad JDT III muncul juara Piala Presiden 2024, sekali gus melakar sejarah tersendiri sebagai pasukan pertama yang menjulang trofi tersebut buat kali ketiga berturut-turut. Lebih membanggakan, skuad ini turut mencipta kejayaan tersebut sebagai pasukan ‘unbeaten’ sepanjang musim 2024.
Luaskan Kuasamu Johor!
#AkademiJDT
#TheTMJeffect
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor