EKO-PELAYARAN SUNGAI MAMPU RANCAKKAN AKTIVITI PELANCONGAN BATU PAHAT


Sungai Batu Pahat mempunyai potensi pembangunan Sungai Batu Bahat sebagai pusat eko-pelayaran. | Foto Ihsan UTHM.

 

ISKANDAR PUTERI — Sungai Batu Pahat mempunyai potensi pembangunan sebagai pusat eko-pelayaran yang mampu merancakkan aktiviti pelancongan di daerah Batu Pahat.

 

Potensi itu dikenal pasti oleh sekumpulan penyelidik Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai oleh Profesor Ts. Dr. Seow Ta Wee setelah melaksanakan kajian berkaitan potensi pembangunan Sungai Batu Bahat sebagai pusat eko-pelayaran.

 

Ta Wee berkata, hasil kajian pasaran serta perbincangan kumpulan fokus (FGD) mendapati majoriti responden yang terlibat dalam kajian tersebut bersetuju Sungai Batu Pahat mampu dibangunkan sebagai kawasan eko-pelancongan baharu.

 

“Dapatan kajian yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) itu mendapati Sungai Batu Pahat bakal dijadikan sebagai kawasan eko-pelancongan, sekali gus berupaya meningkatkan kesedaran umum terhadap penjagaan alam sekitar, habitat haiwan serta pembangunan ‘waterfront’.

 

“Ia juga berupaya menonjolkan lagi imej bandar itu melalui penglibatan penduduk tempatan dan pihak-pihak berkepentingan, selain mampu menarik kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa serta dapat menjadi pemangkin pembangunan sosio-ekonomi yang beridentitikan tempatan,” katanya.

 

Tambah Ta Wee, pihaknya juga mendapati terdapat sebanyak 18 lokasi telah dikenal pasti mempunyai potensi untuk dijadikan kawasan pelancongan di sepanjang titik pelayaran tersebut.

 

“Projek eko-pelayaran yang dicadangkan oleh para penyelidik UTHM itu akan bertumpu di sepanjang Sungai Batu Pahat bermula dari Benteng Batu Pahat iaitu di sebelah Jambatan Tun Razak sehingga ke Pulau Sialu dengan anggaran jarak perjalanan sejauh kira-kira 4.5 kilometer.

 

“Pihak kami percaya pembangunan kawasan waterfront yang menghadap Sungai Batu Pahat akan dapat menarik perhatian pelancong dan seterusnya menggunakan perkhidmatan eko-pelayaran sungai dari Bandar Batu Pahat ke Pulau Sialu,” tambahnya.

 

Jelas beliau, konsep eko-pelayaran sungai yang dicadangkan itu akan melalui kawasan bandar Batu Pahat, kawasan paya bakau, habitat burung, burung bermusim, buaya, kawasan pertanian serta pemandangan indah Gunung Banang, Bukit Penggaram dan Bukit Soga.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor