PDT TERIMA KUNJUNGAN DELEGASI AMERIKA SYARIKAT


Ketua Eksekutif (Kumpulan) PDT, Dato’ Ramlee A Rahman bersama Ketua Pegawai Undang-undang dan Eksekutif Naib Presiden DC Water, March Battle. | Foto ihsan Permodalan Darul Ta’zim

 

ISKANDAR PUTERI — Permodalan Darul Ta’zim (PDT) semalam menerima kunjungan rasmi delegasi dari Amerika Syarikat sempena kerjasama DC Water dan Kerajaan Negeri menerusi program ‘Water Smart Engagement Partnership (WiSE).

 

Delegasi Amerika Syarikat itu disertai oleh pihak District of Columbia Water and Sewer Authority (DC Water); Water Environment Federation (WEF) Amerika Syarikat; U.S Water Partnership (USWP); Global Ties U.S dan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

 

Dalam kenyataan di laman Facebook rasminya, PDT bersama DC Water turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang mana kedua-dua pihak akan memanfaatkan kepakaran dalam pengurusan industri air masing-masing di peringkat tempatan dan antarabangsa.

 

“MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Eksekutif (Kumpulan) PDT, Dato’ Ramlee A Rahman dan Ketua Pegawai Undang-undang dan Eksekutif Naib Presiden DC Water, March Battle.

 

“Majlis sama turut disaksikan Pengerusi Audit dan Integriti PDT, Dato’ Ishak Sahari dan Pengarah Eksekutif US Water Partnership, Christopher E. Rich,” katanya.

 

Dalam kenyataan sama, PDT memaklumkan kolaborasi menerusi MoU itu akan membolehkan kedua-dua pihak bersinergi dalam perkongsian idea, kepakaran dan sumber serta pengiktirafan kerjasama strategik kedua-dua pihak terhadap pengurusan air yang mampan, selain usaha mendepani cabaran di masa akan datang.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor