EKONOMI HIJAU BERMULA DI JOHOR
Kerajaan Negeri menerusi Invest Johor dan Pusat Kelestarian Johor akan menganjurkan Persidangan Green Legacy Johor 2024 selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Oktober depan bagi menangani isu alam sekitar sekali gus merintis jalan ke arah masa depan lebih mampan.
Persidangan bertemakan ‘Kesepaduan Global untuk Tindakan Iklim’ itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru selain menghimpunkan pemimpin global, pakar, dan pendukung alam sekitar bagi membincangkan lima indikator utama yang digariskan.
Penganjuran persidangan tersebut bukan sahaja mencerminkan iltizam Negeri Johor mempelopori agenda kelestarian, malah menjadi platform Kerajaan Negeri menyatukan pengusaha tempatan dan pemain industri global menjalin kerjasama strategik bagi mewujudkan legasi tindakan iklim yang positif.
Selain itu, kesediaan Johor merintis laluan menuju ekonomi hijau secara tidak langsung menjadi titik perubahan buat semua pihak dalam menangani perubahan iklim seterusnya melahirkan penyelesaian konkrit menangani cabaran dihadapi dalam usaha melahirkan persekitaran mampan dan berdaya tahan.
Persidangan Green Legacy Johor 2024 juga adalah kesinambungan daripada penganjuran Persidangan Minggu Iklim Asia Pasifik 2023 (APCW 2023) dianjurkan di lokasi sama bagi memartabat kedudukan Johor sebagai peneraju serantau mempromosikan kelestarian menerusi dasar dan inisiatif yang telah dirangka.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor