EKSPEDISI SAINTIFIK TEMUI SPESIS BAHARU, UNIK DAN ENDEMIK
JOHOR BAHRU — Jabatan Perhutanan Negeri Johor menganjurkan Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan, Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi, bagi membentang dan membincangkan hasil dapatan kajian ekspedisi yang dianjurkan pada Ogos tahun lalu.
Pengarah Perhutanan Negeri Johor, Dato’ Salim Aman berkata, seminar selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Mei itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).
“Penganjuran seminar ini adalah bagi membentang dan membincangkan hasil dapatan kajian ekspedisi yang telah diadakan di lapangan sebelum ini melibatkan penyertaan seramai 126 peserta terdiri daripada para penyelidik dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, institusi penyelidikan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Seramai 44 pembentangan secara lisan dan 11 pembentangan poster yang terdiri daripada para penyelidik dan pengkaji serta pensyarah dari IPT, agensi kerajaan dan NGO,” katanya.
Salim berkata, kajian dan penyelidikan dijalankan dalam ekspedisi itu melibatkan pelbagai disiplin rentas sempadan meliputi aspek fizikal ekosistem hutan, kepelbagaian biologi flora dan fauna, eko-pelancongan, ekologi, rekreasi, geologi, arkeologi dan sosio-ekonomi.
Ujarnya, sebanyak 427 spesis tumbuhan berbunga direkodkan di Hutan Simpan Panti sepanjang ekspedisi ini berlangsung termasuk 13 spesis endemik di Semenanjung Malaysia seperti Simpoh Putih, Meranti Pasir, Damar Hitam Sengkawang Putih dan Minyak Berok.
“Ekspedisi ini juga berjaya merakam kehadiran beberapa spesis mamalia yang unik seperti spesis Lutong Cenekah dan beberapa spesis kucing liar yang sangat terancam.
“Hutan Simpan Panti yang terkenal sebagai suaka burung juga merupakan habitat kepada ratusan spesis burung termasuk spesis burung yang unik antaranya Kuang Raya, Bayan Puling, Cenok Kecil, Kesumba Puteri, Pekaka Rimba Besar dan Takau Selawit,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, senarai semak pertama bagi kumpulan Arachnida iaitu labah-labah dan tarantula juga telah berjaya direkodkan iaitu dengan penemuan 49 spesis terdiri daripada keluarga Araneae, Scorpiones serta Opiliones seperti Malaysia Blue Femur.
“Selain itu Pepatung dan Pepatung Jarum daripada 25 genera dan 10 famili telah berjaya direkodkan dengan 12 spesis adalah rekod spesis baharu untuk Hutan Simpan Panti. Ini mewakili 13.6 peratus daripada spesis yang terdapat di Semenanjung Malaysia.
“Kekayaan spesis Pepatung ini menunjukkan kualiti air di dalam Hutan Simpan Panti yang masih tinggi dan ini terbukti dengan kehadiran sebanyak 49 spesis ikan air tawar. Antara yang menarik ialah ikan Tebal Sisik Johor yang sangat terancam dan endemik di negeri Johor,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar menyempurnakan selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian seminar.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor