PERCAYA TIADA UNSUR HUKUMAN : EXCO KERAJAAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid | Gambar Arkib MDJ.

 

JOHOR BAHRU — Dakwaan seorang ibu bahawa anaknya didenda berjemur di tengah panas di sebuah sekolah agama di Masai, dekat Pasir Gudang, kini dalam siasatan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan orang ramai yang memaklumkan aduan berkenaan.

 

“Apa pun saya boleh katakan di peringkat awal ini, ia masih disiasat dan sekiranya ada kelemahan yang berlaku, kita akan pastikan tidak berulang.

 

“Saya juga mendapat maklumat awal bahawa ia tidak bermaksud apa-apa denda atau hukuman. Tapi saya difahamkan ketika itu, peringkat awalnya anak tersebut baru tiba di sekolah dan sedang diatur kanak-kanak beratur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Arena Larkin, di sini, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai luahan kemarahan seorang ibu yang tular di media, selepas mendakwa anaknya didenda berjemur di tengah panas akibat lewat tiba di sebuah sekolah agama di Masai, dekat Pasir Gudang.

 

Di peringkatnya, Mohd Fared berkata, beliau melihat terdapat kekurangan di mana pihak sekolah tidak seharusnya mengadakan perhimpunan terutama ketika cuaca panas.

 

“Tapi saya difahamkan oleh pihak sekolah pula, mereka (sedang) mengambil kedatangan sebab ada bilik darjah yang tidak mempunyai bekalan elektrik, ada gangguan.

 

“Jadi untuk mengatur itu, mereka beratur di luar dahulu. Jadi saya percaya apa pun aduannya, saya ucap terima kasih, tapi saya percaya tidak ada langsung unsur hukuman,” katanya.

 

Beliau turut beranggapan berlakunya sedikit kelemahan komunikasi dalam kejadian tersebut, namun mengambil aduan disampaikan sebagai saranan yang baik.

 

“Walaupun tidak ada sebarang kelemahan yang jelas, tapi saya meminta maaf sekiranya ada pihak ibu bapa tidak selesa dengan keadaan yang berlaku. Saya beri komitmen semua keadaan ditambah baik.

 

“Semalam telah ada laporan awal. Saya minta disemak lagi. Saya kira awal minggu depan kita boleh kemukakan (laporan lengkap),” katanya.

 

Mohd Fared berkata, Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menimbal guna ketetapan dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di mana guru dan pelajar diberikan kelonggaran memakai pakaian sukan berikutan cuaca panas ketika ini.

 

“Kita juga sama tidak membenarkan semua aktiviti luar bahkan perhimpunan juga kita sangat tidak menggalakkan dan sebaik-baiknya tak diadakan tanpa keperluan yang mendesak.

 

“Maksudnya kebajikan pelajar diwaktu yang tidak menentu cuaca, kita kena pastikan mereka berada dalam keadaan sangat selesa dalam kawasan sekolah dan dalam bilik darjah,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor