PERTUBUHAN KEBAJIKAN, ANAK YATIM DAN MANGSA BANJIR TERIMA SUMBANGAN YAYASAN JCORP


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Rumah Terbuka Johor Corporation di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini | Foto MDJ Mohamad Nur Ariff Nasseem Mohd Murad.

 

JOHOR BAHRU — Pertubuhan kebajikan, anak yatim serta mangsa banjir antara penerima sumbangan Yayasan Johor Corporation pada Majlis Rumah Terbuka Johor Corporation (JCorp) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, semalam.

 

Sumbangan berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang turut dihadiri YB Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Hj Azmi Rohani serta barisan EXCO Kerajaan Negeri Johor.

 

Antara penerima sumbangan sempena sambutan Aidilfitri itu adalah Pertubuhan Kebajikan Shafar Johor Bahru; Persatuan Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal Johor Bahru; Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan Johor Bahru; Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor serta Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (PSK) Daerah Johor Bahru, Segamat dan Mersing.

 

Pada majlis rumah terbuka itu juga, Yayasan JCorp turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir menerusi Kempen Sinar Syawal Mangsa Banjir Johor yang diadakan bermula pada Mac sehingga awal Mei lalu, selain sumbangan duit raya kepada 20 anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Johor – Rumah Barkat Johor.

 

Sementara itu, Setiausaha PSK Daerah Segamat, Noor Yahani Yahaya memberitahu, sumbangan yang diberikan merupakan inisiatif yang baik kerana membantu pertubuhan melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan.

 

“Pihak Yayasan JCorp telah mengambil kesempatan untuk menyalurkan sumbangan kepada pihak yang memerlukan termasuk pertubuhan sukarelawan yang memberi khidmat kepada masyarakat.

 

“Ini amat membantu kerana kami walaupun ketika pandemik Covid atau bencana akan sentiasa bergerak untuk membantu setiap komuniti terutama dalam mendapatkan bantuan atau khidmat lain yang diperlukan,” katanya.

 

Penerima, Azalinda Aliyas, 48, berkata, beliau berterima kasih kepada Menteri Besar Johor serta pihak Yayasan JCorp atas sumbangan yang diberikan.

 

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar Johor yang menyampaikan sumbangan daripada Yayasan JCorp dan berharap sumbangan murni seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor