1,520 PSPA SERTAI MISI PASCA BANJIR JOHOR


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelepasan Pasukan Sukarelawan Perkhidmatan Awam (PSPA) Pasca Banjir ke Negeri Johor di Dataran Bulatan Putra Perdana, Putrajaya, hari ini / Sumber Gambar Facebook Jabatan Perdana Menteri.

 

 

ISKANDAR PUTERI — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Majlis Pelepasan Pasukan Sukarelawan Perkhidmatan Awam (PSPA) Pasca Banjir ke Negeri Johor di Dataran Bulatan Putra Perdana, Putrajaya.

 

Pasukan PSPA yang terdiri daripada 1,520 penjawat awam yang terdiri daripada kakitangan semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan dari seluruh negara itu akan memberi tumpuan bantuan sukarelawan di kawasan terjejas banjir di sekitar daerah Batu Pahat.

 

Dalam kenyataan di laman sosial Facebook rasminya, Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata Jabatan Perhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dipertanggungjawab untuk menyelaras dan memobilasikan program bantuan PSPA berkenaan.

 

Skuad PSPA akan memberi tumpuan kepada aspek pembersihan fasiliti perubatan, pendudukan, bangunan kerajaan dan kawasan awam.

 

Pasukan sukarelawan penjawat awam ini juga akan memberi bantuan pasca banjir seperti kerja pembersihan, sumbangan bakul makanan, alatan pembersihan, kelengkapan asas persekolahan, penyelenggaraan kenderaan kecil, baik pulih peralatan elektrik kecil termasuk kerja pendawaian.

 

Selain itu, skuad PSPA ini juga turut menyediakan perkhidmatan sokongan psikologi dan kaunseling khususnya kepada mangsa yang terjejas banjir kali ini di daerah berkenaan.

 

Program misi ini adalah susulan daripada Mesyuarat Pasca Kabinet JPM pada 17 Mac lalu yang mengaktifkan pergerakan PSPA ini bagi pengurusan pasca banjir di kawasan terjejas.

 

Bagi misi itu, sebanyak 153 buah kenderaan yang merangkumi 26 bas, 16 van, lapan lori, 64 kenderaan pacuan empat roda dan 39 kereta digerakkan dalam operasi bantuan kali ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor