34 TAHUN TABUR BAKTI, BIBI SAKINAH DINOBAT SEBAGAI TOKOH GURU 2026 NEGERI JOHOR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyerahkan cek cura kepada Cikgu Hajah Bibi Sakinah Haron Khan, Tokoh Guru Negeri Johor 2026 pada Majlis Aspirasi Pendidikan Johor. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Bagaimana yang ditanam, itulah yang dituai. Itu antara pepatah yang boleh digambarkan hasil semangat, dedikasi dan pengorbanan yang dilakukan oleh Cikgu Hajah Bibi Sakinah Haron Khan selama lebih tiga dekad dalam dunia perguruan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru bagi Peringkat Negeri Johor Tahun 2026.

 

Kejayaan itu membolehkan Bibi Sakinah membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 dan Sijil Simpanan Premium (SSP) bernilai RM2,500 dari Bank Simpanan Nasional (BSN), selain pingat dan plak anugerah berkenaan.

 

Ketika ditemui, beliau meluahkan rasa syukur dan gembira di atas pengiktirafan tersebut yang disifatkannya sebagai amat bermakna buat dirinya selama berkhidmat sebagai seorang pendidik selama 34 tahun.

 

Anak kelahiran Johor Bahru ini memulakan kerjayanya sebagai guru pada 2 Januari 1986 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Adela, Kota Tinggi. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau yang mesra disapa dengan panggilan ‘ ‘bonda’ telah menabur bakti di 10 sekolah di sekitar daerah Kota Tinggi, Pasir Gudang dan Johor Bahru.

 

Dalam tempoh panjang perkhidmatan perguruannya, pelbagai kejayaan dan kecemerlangan yang dikecapi sama ada di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan sehingga tahun akhir persaraanya sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, Kota Tinggi.

 

Beliau turut mengakui bahawa cabaran sebagai pendidik dahulu dan kini agak jauh berbeza, namun setiap guru tetap perlu bersiap sedia menghadapi perubahan pendidikan semasa dengan melengkapkan diri dalam era digital serta mempunyai inisiatif untuk mencipta kejayaan demi masa depan generasi akan datang.

 

Bukan itu sahaja, setiap pendidik sewajarnya menanam rasa seronok dalam mengajar, sentiasa menyayangi murid dan serta komited dalam mencipta kejayaan demi masa depan anak bangsa.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan Majlis Aspirasi Pendidikan Johor bagi Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara, Johor Bahru hari ini.

 

Sementara itu, majlis sama menyaksikan YBhg Datuk Haji Azman Adnan, mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dipilih menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan manakala Anugerah Khas Menteri Besar Johor pula diberikan kepada YBrs Ahmad Zakuan Md Khudzari, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar.

 

#JohorSafeZone
#JPNJ
#HariGuru2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor