TWRJ SUMBANG RM618,400 NAIK TARAF MAKMAL BAHASA KUIJSI

Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya Ahmad, Mufti Negeri Johor merangkap Pengerusi Lembaga Pengurusan TWRJ pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Makmal Komputer 1 dan Makmal Komputer 2 KUIJSI. | Foto Perbadanan Islam Johor
#JohorBahru – Perbadanan Islam Johor (PIJ) melalui Tabung Waqaf Rakyat Johor (TWRJ) menyumbang sebanyak RM618,400 untuk menaik taraf dua makmal bahasa di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).
Sumbangan untuk menaik taraf makmal bahasa tersebut bagi kegunaan mahasiswa dan mahasiswi di KUIJSI yang sangat signifikan ini menterjemahkan peranan instrumen wakaf dalam membantu sekali gus menyuburkan institusi pendidikan.
Susulan jalinan kerjasama pendidikan antara KUIJSI dengan Markaz Syeikh Zayed iaitu Pusat Pembelajaran Bahasa Arab Al-Azhar, Kaherah, Mesir, sebuah Pusat Bahasa Arab di Negeri Johor bakal dibangunkan.
Akan dinamakan sebagai Pusat Bahasa Arab Syed Alwi Al-Haddad, pusat bahasa Arab ini ditubuhkan bagi memberi peluang kepada calon pelajar menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar secara khususnya dan pengajian di Timur Tengah secara umumnya sekali gus melahirkan lebih ramai ulama berwibawa di negeri ini.
Untuk rekod, hanya terdapat dua sahaja institusi pendidikan yang menjalin kerjasama dengan Markaz Syeikh Zayed dan mendapat pengiktirafan dari Universiti Al-Azhar iaitu KUIJSI dari Malaysia dan sebuah lagi universiti terletak di Jakarta, Indonesia.
Terdahulu, Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Yahya Ahmad, Mufti Negeri Johor merangkap Pengerusi Lembaga Pengurusan TWRJ menyempurnakan perasmian dan penyerahan Makmal Komputer 1 dan Makmal Komputer 2 KUIJSI, hari ini.
Turut hadir, YB Datin Paduka Hajah Shubanah Yusuf, Pengurus Besar PIJ merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan TWRJ; YB Dato’ Haji Mohd Radzi Haji Mohd Amin, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MARSAH Sdn. Bhd. dan YBrs. Prof. Madya Dr. Husin Salamon, Rektor KUIJSI.
#JohorSafeZone
#PIJ
#TWRJ
#KUIJSI
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


