KOMITMEN BERTERUSAN KERAJAAN JOHOR PERKUKUH SEKTOR KESIHATAN

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir pada Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Kerajaan Johor sentiasa komited untuk terus berusaha meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan kesihatan di negeri ini demi memenuhi keperluan rakyat, selain menjaga kebajikan kumpulan jururawat dan petugas kesihatan yang lain.
Kerajaan Negeri sentiasa menghargai jasa serta pengorbanan petugas kesihatan khususnya golongan jururawat dan ia turut diterjemah menerusi peruntukan RM19.8 juta kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi menaik taraf pantri, membeli aset perubatan, menambah baik Jabatan Kecemasan, pengoperasian klinik bergerak, perkhidmatan ubat melalui pos, pembelian empat ambulans baharu serta pemasangan Sistem Giliran Pintar (SQS) yang lebih efisien dan mesra rakyat.
Bagi menangani isu kekurangan jururawat dan doktor di beberapa hospital utama di negeri ini pula, Kerajaan Negeri juga sedang berusaha memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan secara menyeluruh, seterusnya memastikan rakyat Johor terus menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, cekap dan menyeluruh.
Pada masa sama, usaha Kerajaan Negeri memperjuangkan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) telah menerima maklum balas positif apabila perkara tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet bulan depan termasuk cadangan menaik taraf HSAJB sebagai langkah proaktif untuk mengatasi masalah kesesakan dan tempoh waktu menunggu yang lama demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Kesemua komitmen berkenaan dizahirkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru.
Hadir sama ialah YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor; YBhg Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru dan YBrs Dr. Mohtar Pungut, Pengarah Kesihatan Negeri Johor.
#KesihatanJohor
#JururawatJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor