FELDA JOHOR RAIH 11 ANUGERAH, UNGGULI AKRF 2024

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri bersama warga peneroka FELDA Bukit Easter pada Majlis Apresiasi Warga Peneroka sempena Hari Peneroka FELDA dan Karnival Mega 3 Dimensi 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. | Foto FB Zahari Sarip
#IskandarPuteri – FELDA Johor merangkul 11 Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA (AKRF) 2024 pada Majlis Apresiasi Warga Peneroka sempena Hari Peneroka FELDA dan Karnival Mega 3 Dimensi 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Daripada keseluruhan anugerah berkenaan, FELDA Bukit Easter dinobatkan Johan AKRF selain turut menerima anugerah lain iaitu Anugerah Inovasi Dan Keceriaan, Anugerah Prestasi Sawit Terbaik dan Anugerah Sumbangan Wakaf Tertinggi.
Kecemerlangan FELDA Johor turut diraih menerusi FELDA Adela, FELDA Lok Heng Timur, FELDA Bukit Tenggaroh 7, FELDA Pasak, FELDA Sri Ledang dan FELDA Bukit Besar yang meliputi kejayaan individu mahupun sekolah dalam pelbagai aspek iaitu pembangunan komuniti, inovasi, kerohanian, keusahawanan serta kelestarian ladang.
Pencapaian membanggakan itu menjadi cerminan sokongan serta komitmen tinggi Kerajaan Negeri dalam usaha memperkasa komuniti FELDA di negeri ini sebagai bahagian penting dalam agenda Maju Johor menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan berjumlah hampir RM4.6 juta.
Peruntukan signifikan tersebut termasuklah bantuan bakul makanan disampaikan secara berperingkat yang memanfaatkan kira-kira 27,642 peneroka melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.7 juta.
Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM1.855 juta untuk beberapa inisiatif lain termasuk bantuan geran bernilai RM5,000 kepada 71 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) FELDA serta JKKR FELDA Wilayah Segamat dan Johor Bahru.
Malah, Kerajaan Negeri bersama FELDA komited menyalurkan peruntukan bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur asas lot kediaman generasi kedua selain menubuhkan Sekretariat Muafakat FELDA Negeri Johor bagi membincang dan menyelami hal ehwal pembangunan FELDA.
Selain itu, Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri atas pengumuman insentif RM100,000 kepada semua Rancangan FELDA termasuk 73 Rancangan FELDA di Johor bagi memperkasakan pelaksanaan aktiviti ekonomi komuniti setempat.
#FELDAJohor
#AKRF2024
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor