FELDA ANAK EMAS KERAJAAN JOHOR

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menghadiri Sesi Libat Urus bersama Warga FELDA Ayer Hitam di Dewan Orang Ramai, FELDA Ayer Hitam. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#Kluang – Kerajaan Johor akan melaksanakan pendekatan turun padang bagi mendengar dan menyelesaikan sebarang isu membabitkan golongan peneroka FELDA dan tidak hanya bergantung kepada laporan rasmi ketua jabatan demi menjaga kebajikan serta kesejahteraan masyarat di tanah rancangan berkenaan.
Sebagai negeri yang mengangkat FELDA sebagai ‘anak emas’, Kerajaan Johor juga mengambil langkah proaktif apabila menjadi satu-satunya negeri yang memperuntukkan sebanyak RM18 juta bagi menyelesaikan isu infrastruktur asas tapak lot kediaman generasi kedua yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak pengurusan FELDA.
Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM2.26 juta akan diperuntukkan kepada FELDA Ayer Hitam, Kluang bagi pelaksanaan kerja-kerja penyediaan jalan, sistem perparitan dan sambungan utiliti bagi membolehkan projek perumahan generasi kedua dapat dilaksanakan secara menyeluruh, teratur dan seperti yang dirancangkan.
Meskipun hal ehwal FELDA terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri turut menzahirkan komitmen membela warga peneroka melalui keputusan menyerahkan 100 peratus lot peneroka menjelang tahun 2026 sebagai langkah penyelesaian konkrit terhadap isu pemilikan yang telah berlarutan sekian lama.
Terdahulu YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menghadiri Sesi Libat Urus bersama Warga FELDA Ayer Hitam di Dewan Orang Ramai, FELDA Ayer Hitam, hari ini.
Turut hadir, YBhg Puan Hajah Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang; YBrs Encik Mohd Hadi Abidi, Penolong Pentadbir Tanah (Pembangunan Tanah dan Pelupusan) Pejabat Tanah Kluang dan YBrs Encik Hasrul Nizam Hassan, Pengarah Wilayah FELDA Wilayah Segamat.
#GenerasiFELDAJohor
#SegalanyaFELDA
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor