JDT YAKIN JULANG PIALA SUMBANGSIH, MALAM ESOK

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bertekad untuk terus mengekalkan status sebagai kuasa dominan Liga Malaysia dengan rekod pencapaian 11 kejuaraan Liga Super, selain turut meraih pelbagai kejayaan dalam saingan Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE). | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Juara sembilan kali Piala Sumbangsih, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yakin sekali lagi akan dapat mempertahankan kejuaraan berkenaan, sekali gus mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan berkenaan yang juga menjadi aksi pembuka tirai Liga Super bagi musim 2025/2026.
Keyakinan ini bersandarkan persiapan rapi yang telah dilakukan oleh skuad Harimau Selatan sebelum ini dan perlawanan malam esok juga bukan hanya sekadar penentu kejuaraan awal musim, tetapi ia juga menjadi titik tolak permulaan dekad baharu bagi memastikan kesinambungan dominasi JDT dalam kancah arena bola sepak tanah air diteruskan.
Senario musim lalu yang menyaksikan Selangor FC menarik diri daripada aksi Piala Sumbangsih 2024/2025 atas alasan tertentu tidak menjadi masalah bagi JDT kerana akhirnya kedua-dua pasukan ini sekali lagi akan bertemu semula dan Stadium Sultan Ibrahim bakal menjadi pentas bagi menentukan siapakah yang bakal bergelar juara, esok.
Pengendali baharu JDT, Xisco Munoz, menyifatkan tempoh persiapan pra-musim JDT di Sepanyol baru-baru ini telah banyak membantu skuad Harimau Selatan menjalani siri perlawanan persahabatan kompetitif berintensiti tinggi, sekali gus membentuk gandingan kombinasi serta persefahaman yang baik antara pemain sedia ada dan muka baharu.
Munoz juga turut menekankan kepentingan pengurusan kawalan emosi serta kekuatan mental sebagai aspek utama menjelang aksi pertama musim ini, ditambah dengan peranan pemain-pemain berpengalaman yang turut membimbing pemain baharu untuk memahami identiti dan mentaliti kemenangan yang diterapkan oleh pihak kelab.
Sementara itu bagi Natxo Insa, Ketua Pasukan JDT, beliau menyifatkan ketiadaan Juan Muniz sebagai tonggak tengah utama sebelum ini tidak akan merencatkan perancangan pasukan kerana JDT masih memiliki ramai pemain berkualiti dan berpengalaman yang bersedia dalam menggalas tanggungjawab di posisi tersebut.
Selaku juara bertahan, JDT bertekad untuk terus mengekalkan status sebagai kuasa dominan Liga Malaysia dengan rekod pencapaian 11 kejuaraan Liga Super, selain turut meraih pelbagai kejayaan dalam saingan Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE). Musim ini menyaksikan skuad Harimau Selatan sesekali tidak akan berhenti dan akan terus bernafsu untuk menambah koleksi kejuaraannya.
#PialaSumbangsih
#SkyWasNeverTheLimit
#SukanMDJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor