JOHOR NEGERI PERTAMA GUNA TEKNOLOGI AIR TERAWAT UNTUK INDUSTRI PUSAT DATA

YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menghadiri Majlis Pengiktirafan Penggunaan Air Alternatif bagi Industri Pusat Data di Johor. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Johor menjadi negeri pertama yang bakal menggunakan teknologi air pulih guna untuk merawat kumbahan bagi keperluan industri pusat data di negeri ini, menerusi pemeteraian tiga perjanjian kerjasama strategik melibatkan Johor Special Water (JSW) Sdn. Bhd dan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd.
Menerusi perjanjian tersebut IWK melaksanakan pembangunan pembekalan 12 juta liter sehari (JLS) efluen terawat daripada loji rawatan kumbahan ke loji air pulih guna milik Bridge Data Centres (BDC) dan Computility Technology (Malaysia), manakala JSW pula bakal membekalkan sumber air alternatif kepada Dayone Data Centre Malaysia II Sdn Bhd (Dayone).
Bagi projek BDC di Ulu Tiram, IWK akan membekalkan 4 JLS efluen terawat dari Loji Rawatan Kumbahan JB-Pelangi (JBR005) untuk dipulih guna menjadi air berkualiti tinggi bagi sistem penyejukan pusat data, manakala JSW bertanggungjawab untuk menyelia penghantarannya serta mengurus kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sehubungan itu, kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor menjadi mercu tanda penting dalam menggalakkan pertumbuhan mampan pusat data di negeri ini tanpa menjejaskan sumber bekalan air, dengan tiga pusat data di Johor kini sudah menerima pengiktirafan kerajaan atas penggunaan sumber air alternatif masing-masing.
Setakat ini, lebih 50 permohonan pembinaan pusat data telah diterima dan sehingga suku kedua 2025, Kerajaan Negeri Johor telah meluluskan 42 projek pusat data dengan nilai pelaburan mencecah RM164.45 bilion serta berpotensi mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan Johor.
Selain itu, tujuh permohonan baharu yang memerlukan kapasiti air sehingga 76 JLS kini sedang dipertimbangkan oleh JSW dengan kerjasama rapat syarikat pusat data, syarikat utiliti dan Kerajaan Negeri Johor. Ia menjadikan jumlah keseluruhan permintaan bekalan air alternatif daripada pusat data yang diterima sehingga 30 Jun adalah sebanyak 136 juta liter sehari.
Johor terus diyakini sebagai destinasi pelaburan terbaik di rantau ini dengan kemasukan pelaburan asing yang mengukuhkan kedudukannya sebagai gergasi pusat data, selain ia turut dipantau oleh Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor bagi memastikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan air pulih guna dapat dimanfaatkan semaksimum yang mungkin.
Terdahulu, YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menghadiri Majlis Pengiktirafan Penggunaan Air Alternatif bagi Industri Pusat Data di Johor yang berlangsung di DoubleTree by Hilton Hotel, hari ini.
#JohorHomeOfChampions
#JohorSpecialWater
#PusatData
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor