37,000 PELUANG PEKERJAAN DICIPTA MENERUSI MBW INNEXUS INDUSTRIAL CITY

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan pelancaran projek pembangunan MBW Innexus Industrial City di Forest City bersama YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri. | Foto MedKom

 

#IskandarPuteri – Projek pembangunan MBW Innexus Industrial City terletak di Tanjung Langsat, kawasan Flagship D Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dilancarkan hari ini, bakal mencipta lebih 37,000 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai kemahiran kepada rakyat khususnya di negeri ini.

 

Melibatkan nilai pembangunan kasar lebih RM2 bilion, projek dibangunkan oleh MB World Group Berhad bagi fasa satu yang dijangka siap pada suku kedua tahun 2027 itu mengukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai hab perindustrian dan pelaburan serantau berimpak tinggi.

 

Pembangunan berkenaan dilihat berpotensi memacu transformasi ekonomi negara menerusi industri bernilai tambah dalam sektor strategik yang diwujudkan selaras aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) seperti semikonduktor, kenderaan elektrik, aeroangkasa, farmaseutikal dan tenaga boleh diperbaharui.

 

MBW Innexus Industrial City yang berada di kawasan ‘Segitiga Emas’ perindustrian iaitu Tanjung Langsat, Pasir Gudang dan Jurong, Singapura itu kelak diperkukuhkan dengan sokongan ekosistem bakat tempatan selain jaringan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta infrastruktur moden sekali gus menjadikan Johor destinasi pilihan utama pelabur global.

 

Selain menzahirkan sokongan terhadap projek berkenaan, Kerajaan Negeri yakin pembangunan bandar industri melalui kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan sektor swasta itu meletakkan Johor sebagai kuasa besar baharu ekonomi negara serta destinasi pelaburan masa depan.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan pelancaran projek pembangunan MBW Innexus Industrial City di Forest City. Turut hadir, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

 

#MBWInnexus
#JohorHomeOfChampions
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor