KERAJAAN JOHOR UMUM 9 INISIATIF BERNILAI RM3.8 JUTA UNTUK MASYARAKAT ORANG ASLI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir pada Festival Hari Orang Asli 2025 di Persiaran Dato’ Haji Ismail Hassan, Kluang. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#Kluang – Kerajaan Johor memperuntukkan RM3.8 juta bagi melaksanakan sembilan inisiatif baharu demi memperkasa dan menjaga kebajikan lebih 18,000 masyarakat Orang Asli di negeri ini.

 

Selain itu, pelbagai bantuan melibatkan aspek kebajikan, pendidikan, kemudahan infrastruktur dan pembangunan komuniti juga telah diluluskan bagi memastikan masyarakat Orang Asli di negeri ini terus menikmati manfaat pembangunan secara menyeluruh dan inklusif.

 

Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah bantuan tunai one-off sebanyak RM200 kepada 5,041 Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1 juta, selain bantuan bakul makanan bernilai RM100 yang turut disalurkan bagi meringankan beban kos sara hidup harian mereka.

 

Dalam aspek pendidikan pula, seramai 73 pelajar Orang Asli menerima sumbangan komputer riba bernilai keseluruhan RM182,500 sebagai usaha untuk merapatkan jurang digital dan memperkukuh akses kepada pendidikan yang lebih berkualiti.

 

Kerajaan Negeri juga menyalurkan geran khas berjumlah RM10,000 kepada 60 kampung Orang Asli bagi tujuan pengurusan dan pelaksanaan program komuniti, selain turut memberi peruntukan bagi kerja menaik taraf serta baik pulih 49 balai raya dan dewan komuniti melibatkan dana sebanyak RM735,000.

 

Selain itu, sebanyak 37 masjid dan surau di kampung Orang Asli turut menerima sumbangan RM10,000 setiap satu, sementara 44 kemudahan sukan juga dinaik taraf menerusi peruntukan berjumlah RM440,000 sebagai galakan kepada penglibatan belia dalam aktiviti sihat dan pembangunan sosial.

 

Bagi menghargai peranan Tok Batin dalam menguruskan kelompok masyarakat di bawah jagaan mereka, seramai 46 Tok Batin akan menerima bantuan tunai one-off sebanyak RM300 seorang dengan jumlah keseluruhan RM13,800.

 

Melengkapi kesemua sembilan inisiatif ini, sebuah Jawatankuasa Khas Komuniti Orang Asli turut ditubuhkan bagi menyelaras, memantau dan melaksanakan inisiatif pembangunan sosioekonomi, pendidikan, kesihatan serta pemeliharaan budaya masyarakat Orang Asli di Negeri Johor.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir merasmikan Festival Hari Orang Asli 2025 di Persiaran Dato’ Haji Ismail Hassan, Kluang, hari ini. Hadir sama ialah YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor.

 

#OrangAsliJohor

#FestivalOrangAsli2025

#BangsaJohor

#MediaDigitalJohor

#SahihTepatPantas

#MajuJohor