100 TAHUN MAINJ BUKTI INSTITUSI AGAMA TERUS MEMBELA UMMAH

YB Dato’ Dr. Haji Nooh Gadot selaku Penasihat MAINJ bersama YB Prof Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Majlis MAINJ dan YBhg Dr. Fifi Anti Mafika Sari Sukamto, Tokoh Belia Maal Hijrah Negeri Johor Tahun 1447H turut mengupas pelbagai topik berkaitan usaha memperkasakan syiar Islam pada Forum Multaqa Ulama’ Darul Takzim Kali Ke-9. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Sambutan 100 tahun penubuhan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) adalah antara bukti kukuh bahawa Kesultanan Johor Moden telah mewariskan satu khazanah bernilai kepada umat Islam di negeri ini iaitu sebuah institusi agama yang berperanan dalam membela dan memartabatkan ummah.
Sejak penubuhannya, MAINJ telah memainkan peranan penting dalam menguruskan hal ehwal berkaitan Islam seperti zakat, wakaf dan baitulmal secara sistematik, sekali gus berjaya membangunkan ekonomi umat Islam berlandaskan prinsip syariah, jelas YB Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor merangkap Ahli MAINJ.
Hasil kutipan zakat dan sumbangan wakaf yang kian meningkat pada setiap tahun telah berjaya dipulangkan semula kepada umat Islam melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan khususnya membabitkan bidang pendidikan, kesihatan dan kebajikan menjadikan MAINJ sebagai tonggak utama dalam memperkasa kesejahteraan umat Islam di Johor.
Kerjasama erat antara MAINJ dan Waqaf An-Nur turut memperlihatkan kejayaan dalam meluaskan impak positif wakaf kepada lebih ramai penerima manfaat termasuk melalui pembangunan pusat kesihatan, program keusahawanan dan mencipta pelbagai peluang pekerjaan yang ternyata banyak membantu mengangkat martabat ekonomi umat Islam di negeri ini.
Memasuki usia 100 tahun, MAINJ sentiasa teguh berdiri sebagai lambang kebijaksanaan warisan Johor, berpaksikan kepada prinsip ‘Kepada Allah Berserah, Muafakat Itu Berkat, Johor Mesti Jadi Johor dan Luaskan Kuasamu Johor’ yang telah mengikat Bangsa Johor untuk terus bersatu, maju dan makmur, di samping terus memastikan syiar agama Islam sentiasa dipelihara dan dimartabatkan.
Terdahulu, telah berlangsung Forum Multaqa Ulama’ Darul Takzim kali kesembilan sempena Majlis Sambutan 100 Tahun Penubuhan MAINJ bertajuk ‘Orang Muda Johor Prihatin – Akidah, Sejarah Islam dan Ekonomi’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
YB Dato’ Dr. Haji Nooh Gadot selaku Penasihat MAINJ bersama YB Prof Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Majlis MAINJ dan YBhg Dr. Fifi Anti Mafika Sari Sukamto, Tokoh Belia Maal Hijrah Negeri Johor Tahun 1447H turut mengupas pelbagai topik berkaitan usaha memperkasakan syiar Islam pada forum berkenaan.
Selain itu, sebanyak tiga resolusi turut diserahkan kepada Kerajaan Negeri melibatkan aspek pemerkasaan akidah Orang Muda Johor, pemeliharaan serta penghayatan sejarah Islam di Johor dan pembangunan ekonomi berlandaskan Maqasid Syariah sebagai panduan hala tuju negeri.
#JohorSafeZone
#MAINJ100Tahun
#IslamDimartabat
#RajaBerdaulat
#NegeriBerkat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor