EMPAT IKON DILANTIK PERKASA ORANG MUDA JOHOR

Johor terus mengiktiraf golongan belia sebagai pencetus perubahan dengan menobatkan Muhammad Farkhan Haron, Hafizh Syahrin Abdullah dan Joe Flizzow sebagai Ikon Belia Johor pada Anugerah Sukan Johor ke-31. |Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Johor terus mengiktiraf peranan penting golongan belia sebagai sumber inspirasi dan pencetus perubahan apabila beberapa individu ternama tanah air diumumkan sebagai Ikon Belia Johor (Johor Youth Icon) pada malam berprestij Anugerah Sukan Johor ke-31, pada Isnin.
Antara yang menerima pengiktirafan tersebut ialah jaguh tinju negara, Muhammad Farkhan Haron; pelumba berbasikal trek Olimpik negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom; pelumba sukan permotoran profesional JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah serta penggiat seni dan selebriti rap terkenal, Joe Flizzow.
Pelantikan ini bukan sahaja mengiktiraf pencapaian mereka dalam bidang masing-masing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, tetapi mampu menjadi contoh teladan kepada belia Johor untuk terus memasang impian, bekerja keras, menonjolkan potensi diri serta bersemangat untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi pada masa akan datang.
Selain itu, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) terus komited untuk menjadikan Johor sebagai kuasa sukan baharu negara melalui pelbagai inisiatif pembangunan bakat, penganjuran acara sukan berprestij serta memberi pengiktirafan terhadap jasa atlet, jurulatih, pemimpin dan persatuan sukan.
Pada masa sama, pelantikan Ikon Belia Johor ini turut memberi nilai tambah kepada usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasa belia bukan sahaja dalam arena sukan tetapi juga dalam bidang keusahawanan, seni dan industri kreatif yang semakin berkembang pesat.
Dengan adanya ikon yang berwibawa dan berpengaruh, Johor yakin usaha melahirkan belia progresif, berdaya saing serta mampu bersinar di pentas dunia akan terus diperkukuh, seiring dengan visi menjadikan Johor sebuah negeri maju dan kuasa sukan menjelang tahun 2030.
#JohorSafeZone
#JohorSportsNation2030
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor