PROJEK NAIK TARAF TERMINAL LARKIN SENTRAL SIAP SEPENUHNYA

Terminal Larkin Sentral kini berwajah baharu dan lebih selesa selepas kerja naik taraf oleh Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) siap sepenuhnya. | Foto FB Fazli Salleh

 

#JohorBahru – Terminal Larkin Sentral kini tampil lebih selesa, selamat dan ceria selepas kerja menaik taraf hab pengangkutan awam itu siap sepenuhnya selepas melalui proses pelaksanaan terancang sejak 8 April lalu oleh Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).

 

Projek bernilai RM2.5 juta itu berjaya disiapkan mengikut jadual pada September lalu, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kemudahan awam di Johor sentiasa berada dalam keadaan selamat, selesa dan kondusif untuk para pengguna terutama menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

 

Kerja-kerja menaik taraf itu melibatkan beberapa komponen utama seperti pembaikan pagar terminal, menaik taraf bumbung kawasan menurunkan penumpang (drop-off) di pintu masuk utama dan sekitar Platform B serta pembaikan jalan di laluan keluar masuk bas ke kawasan terminal.

 

Inisiatif ini dilaksanakan bagi memperkukuh fungsi Terminal Larkin Sentral sebagai hab pengangkutan awam terbesar di Johor Bahru yang menjadi tumpuan puluhan ribu penumpang setiap hari, di samping menambah baik beberapa kemudahan infrastruktur lain demi keselesaan serta keselamatan pengguna agar penumpang menikmati perkhidmatan yang lebih efisien dan kondusif.

 

Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor bersama YBhg En. Shafiei Ahamad, Ketua Pegawai Eksekutif PAJ mengadakan lawatan bagi meninjau perkembangan projek menaik taraf Terminal Larkin Sentral yang telah siap dilaksanakan.

 

#JohorSafeZone
#LarkinSentral
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor