KERAJAAN JOHOR PERKUKUH BEKALAN AIR LRA LOK HENG, HADAPI MUSIM KEMARAU

Antara usaha yang sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui Ranhill SAJ (RSAJ) Sdn. Bhd. ialah menaik taraf Loji Penyahgaraman dengan meningkatkan kapasiti daripada 2 juta liter sehari (MLD) kepada 4 MLD. | Foto FB Fazli Salleh
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan keupayaan Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng bagi memastikan bekalan air kepada penduduk di Gugusan Felda Lok Heng dan Gugusan Felda Waha kekal terjamin, terutama ketika berdepan keadaan cuaca panas dan kering sejak akhir-akhir ini.
Antara usaha yang sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui Ranhill SAJ (RSAJ) Sdn. Bhd. ialah menaik taraf Loji Penyahgaraman dengan meningkatkan kapasiti daripada 2 juta liter sehari (MLD) kepada 4 MLD.
Kerja penambahbaikan itu turut melibatkan pemasangan saluran pengambilan air baharu yang lebih hampir dengan laut bagi membolehkan loji berkenaan beroperasi dengan lebih konsisten tanpa terlalu dipengaruhi keadaan pasang surut.
Projek berkenaan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh empat bulan dan menjadi antara persediaan penting untuk mengurangkan kebergantungan terhadap Sungai Ulu Sedeli Kecil yang sebelum ini menjadi sumber utama operasi LRA Lok Heng.
Sungai berkenaan sebelum ini mencatatkan paras air serendah 1.29 meter akibat musim kemarau, namun kembali meningkat kepada 1.92 meter selepas hujan lebat baru-baru ini, sekali gus membantu mengekalkan operasi LRA berkenaan.
Sekiranya paras sungai turun di bawah 1.0 meter, operasi LRA Lok Heng berisiko dihentikan, sekali gus boleh menjejaskan kira-kira 4,045 akaun pengguna di kawasan Lok Heng dan Waha.
Pada masa sama, pelaksanaan Bekalan Air Berjadual (BAB) yang dipersetujui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut dipertimbangkan bagi mengurangkan penggunaan sumber air sungai, selain memberi peluang kepada peningkatan semula paras air sungai berkenaan.
Kerajaan Johor bersama pihak berkaitan akan terus memantau keadaan sumber air dan mengambil tindakan bersesuaian bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan kepada penduduk terlibat.
#JohorSafeZone
#LRALokHeng
#SuperElNino
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


