BELANJAWAN 2026: HARAP ADA BERITA BAIK UNTUK SEKTOR KESIHATAN DI JOHOR

Johor berharap Kerajaan Persekutuan memberi perhatian kepada pembangunan sektor kesihatan dan infrastruktur negeri, termasuk pelaksanaan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) yang sangat dinantikan oleh rakyat, menjelang pembentangan Belanjawan 2026. | Foto arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Menjelang pembentangan Belanjawan 2026 oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, pada Jumaat ini, Johor turut meletakkan harapan besar terhadap Kerajaan Persekutuan untuk terus memberi tumpuan kepada pembangunan sektor kesihatan dan infrastruktur negeri ini, selaras dengan pertumbuhan pesat ekonomi serta keperluan infrastruktur awam yang semakin meningkat.

 

Antara perkara utama atau berita baik yang diharapkan ialah pengumuman pelaksanaan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) yang telah lama dinantikan oleh rakyat di negeri ini khususnya penduduk di daerah Johor Bahru, jelas YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor.

 

Projek HSA2 dilihat penting bagi menampung keperluan rawatan pesakit yang semakin meningkat di HSA Johor Bahru, selain keperluan untuk memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan negeri juga perlu dilaksanakan secepat mungkin selepas ia diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025 lalu.

 

Selain itu, beliau turut berharap agar Kerajaan Persekutuan turut memperkenalkan insentif khas kepada kakitangan kesihatan seperti yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap sumbangan dan pengorbanan mereka dalam memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya selepas tempoh pandemik lalu.

 

Isu kesesakan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai juga perlu diberi perhatian serius khususnya mengenai cadangan projek pembinaan bangunan tambahan di hospital awam berkenaan bagi menampung pertambahan bilangan pesakit dari kawasan sekitar Iskandar Puteri, Kulai dan Pontian berikutan perkembangan pesat ekonomi di kawasan berkenaan dengan pelbagai projek pembangunan baharu.

 

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Yong Peng turut menekankan kepentingan meneruskan projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan dari Senai Utara ke Yong Peng, bagi memperkukuh jaringan pengangkutan antara daerah serta memudahkan akses masyarakat kepada kemudahan awam termasuk hospital dan pusat kesihatan.

 

Kesemua harapan berkenaan disifatkannya sebagai sebahagian daripada suara hati rakyat serta selari dengan komitmen Kerajaan Negeri yang sentiasa menitikberatkan aspek kesejahteraan rakyat melalui pembangunan menyeluruh dalam bidang kesihatan, prasarana dan kebajikan masyarakat.

 

#JohorSafeZone
#Belanjawan2026

#BelanjawanMADANI
#PembentanganBelanjawan
#BelanjawanNegara
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor