RMMJ ISKANDAR PUTERI FASA 1 CAPAI 70 PERATUS KEMAJUAN

Projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) kini mencatat kemajuan 70% bagi fasa pertama dan 30% bagi fasa kedua, dengan jangkaan siap sepenuhnya menjelang November tahun hadapan. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus komited dalam merealisasikan impian rakyat untuk memiliki kediaman sendiri termasuk penyediaan lebih 2,000 unit Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor merangkumi tiga fasa utama.

 

Sehingga kini, projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang dijangka siap sepenuhnya menjelang November tahun depan itu sudah mencapai 70 peratus kemajuan bagi fasa 1 dan 30 peratus kemajuan untuk fasa 2, jelas YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.

 

Projek menawarkan kediaman dengan harga bermula RM150,000 hingga RM300,000 itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat Johor memiliki kediaman yang selesa, berkualiti dan berdaya huni.

 

Menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) sejajar dengan aspirasi Johor ke arah pembangunan mampan dan efisien, projek tersebut merupakan antara pembangunan mampu milik terbesar di kawasan Iskandar Puteri.

 

Projek dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) bersama pemaju tempatan berpengalaman itu juga menjadi model terbaik kolaborasi antara Kerajaan Negeri serta pemaju swasta dalam merealisasikan sasaran pembinaan 100,000 unit RMMJ menjelang tahun 2030.

 

Kerajaan Negeri optimis melalui kerjasama antara agensi teknikal, kontraktor, pemaju dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual sekali gus memberi manfaat besar kepada rakyat Johor khususnya di kawasan Iskandar Puteri.

 

#JohorSafeZone
#RumahMampuMilikJohor
#PerumahanIskandarPuteriBangsaJohor
#RMMJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor