KUIJSI LAHIRKAN GRADUAN SULUNG PENGURUSAN DAKWAH

Dua graduan terawal Sekolah Dakwah 2023, Aiman Bukhari Ramin dan Muhammad Sufian Iman Johan melakar kejayaan sebagai pendakwah profesional berteraskan ilmu, kepimpinan dan nilai Islam. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) mencatat sejarah penting apabila berjaya melahirkan graduan sulung bagi program Diploma Pengurusan Dakwah pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-22.
Aiman Bukhari Ramin dan Muhammad Sufian Iman Johan merupakan dua graduan terawal Sekolah Dakwah diperkenalkan pada tahun 2023 untuk melahirkan pendakwah profesional mahir dalam ilmu agama serta pengurusan dan kepimpinan berteraskan nilai Islam.
Penganugerahan Diploma Pengurusan Dakwah mencerminkan iltizam KUIJSI untuk muncul menjadi institusi pendidikan tinggi (IPT) responsif dalam memenuhi keperluan semasa masyarakat Islam yang berdepan cabaran era digital dan memperkukuh peranan dakwah sebagai medium penyatuan ummah.
Selain itu, program berkenaan juga merupakan langkah strategik bagi memperluas ufuk ilmu dan melahirkan tenaga muda yang mampu memanfaatkan teknologi serta pendekatan baharu dalam penyebaran dakwah dan risalah Islam dengan lebih berkesan mahupun inklusif.
Aiman Bukhari, 22, dan Muhammad Sufian, 23, merupakan antara 626 graduan menerima diploma masing-masing pada istiadat konvokesyen kali ini selain penuntut Sekolah Pengajian Islam, Sekolah Muamalat dan Pengurusan serta Sekolah Pendidikan.
Terdahulu, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Pro-Canselor II KUIJSI menyempurnakan penganugerahan Diploma kepada graduan KUIJSI pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-22 KUIJSI, hari ini. Hadir sama, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Lembaga Pengarah KUIJSI merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.
#JohorSafeZone
#PendidikanBangsaJohor
#KUIJSI
#Konvokesyen22
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor