KERAJAAN NEGERI PERKUKUH KOMITMEN KELESTARIAN HUTAN JOHOR

YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Johor 2025. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#Muar – Kerajaan Negeri Johor terus komited dalam memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dengan sasaran mengekalkan sekurang-kurangnya 25 peratus daripada keluasan tanah Johor dilitupi pokok-pokok dan kawasan berhutan bagi menjamin keseimbangan ekosistem dan kelestarian biodiversiti di negeri ini.

 

Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk Pembangunan dan Insentif Konservasi dan RM1.26 juta melalui peruntukan ‘Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation’ (EFT) yang disalurkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) bagi melaksanakan 14 projek pemeliharaan dan pemerkasaan Hutan Simpanan Kekal (HSK) pada tahun ini.

 

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan membabitkan usaha memperkasa perundangan dengan membuat pindaan ke atas Enakmen Perhutanan Negeri Johor (Pindaan) 2025, di mana rang undang-undang ini dijangka akan dibentang pada Sidang Dewan Negeri Johor untuk diluluskan bagi membolehkan pengurusan sumber hutan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

 

Selain itu, turut dipergiatkan ialah usaha mewartakan kawasan yang diluluskan menerusi Cadangan Hutan Simpanan Kekal (CHSK). Menerusi cadangan ini, setiap HSK di negeri ini akan dikelaskan mengikut fungsinya yang tertentu seperti Hutan Tadahan Air, Hutan Kawalan Banjir, Hutan Perlindungan Tanah dan Hutan Lipur.

 

Sehingga kini, keluasan kawasan berhutan di Johor berjumlah 440,994.96 hektar atau bersamaan 23.10 peratus. Justeru, pelbagai usaha perlu dilaksanakan bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan melalui dasar, program pembangunan dan pelaksanaan projek konservasi yang berimpak tinggi.

 

Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor hadir selaku wakil rasmi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Johor 2025 yang berlangsung di Laman Bakau Parit Kassim, Muar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#HariHutanAntarabangsa
#LamanBakauParitKassim
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor