PEKAN NANAS MUNCUL SEBAGAI HAB SOKONGAN EKONOMI KEPADA JS-SEZ

MITI melihat Pekan Nanas sebagai lokasi strategik dalam pembangunan JS-SEZ, dengan potensi besar untuk menjadi pusat sokongan bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan.
#IskandarPuteri – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melihat Pekan Nanas sebagai antara kawasan strategik dalam pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang memiliki potensi besar untuk dibangunkam sebagai pusat sokongan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Pekan Nanas kini juga tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sektor pertanian, sebaliknya tanah industri di Taman Perindustrian Pekan Nanas I, Pekan Nanas II dan Taman Perindustrian Tropicana telah membolehkan pertumbuhan industri kecil dan sederhana (IKS), logistik, teknologi serta perkhidmatan sokongan telah melonjakkan sosioekonomi di kawasan berkenaan.
Pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Wilayah Johor bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Johor melalui Invest Johor, Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) bagi mempromosikan kawasan JS-SEZ yang turut merangkumi Pekan Nanas secara menyeluruh.
Lokasi strategik Pekan Nanas ini turut diperkukuh dengan kepelbagaian akses infrastruktur utama seperti Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA) serta laluan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Iskandar Puteri, menjadikannya sebagai destinasi pelaburan alternatif dengan kos lebih kompetitif berbanding kawasan utama yang lain.
Bagi tempoh 2024 hingga Jun 2025, MIDA telah meluluskan tujuh projek perkilangan bernilai lebih RM130 juta dan dua projek teknologi hijau tenaga solar di Pekan Nanas. Ia merangkumi pelbagai aktiviti pembuatan dan perkhidmatan seperti produk elektrikal dan elektronik, fabrikasi logam, produk bukan logam, produk isi rumah serta penapis untuk pembersih hampagas.
Selain itu, MITI melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) terus memperkukuh agenda perdagangan Johor dengan penglibatan lebih 1,320 pengeksport negeri ini yang secara tidak langsung bertujuan untuk memastikan Pekan Nanas turut menerima limpahan manfaat daripada pertumbuhan JS-SEZ.
Dengan kerjasama MITI, MIDA, MATRADE, IRDA dan Invest Johor, Pekan Nanas kini berkembang sebagai hab sokongan ekonomi kepada JS-SEZ, menawarkan peluang pekerjaan, peningkatan perdagangan dan pembangunan infrastruktur kepada komuniti setempat.
#JohorSafeZone
#ZonEkonomiKhasJohorSingapura
#JSSEZ
#JohorHomeOfChampions
#WTN
#PekanNanas
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


