YANG DI-PERTUAN AGONG RASMI PUSAT KANSER TUNKU LAKSAMANA JOHOR

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor, di Larkin hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Johor terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju perkhidmatan kesihatan negara menerusi penubuhan Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor yang telah sempurna dirasmikan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Larkin, hari ini.
Penubuhan pusat kanser khusus itu menjadi pemangkin baharu kepada potensi Johor sebagai destinasi utama pelancongan perubatan sekali gus menarik lebih ramai pesakit dari dalam dan luar negara melalui penyediaan perkhidmatan saringan serta rawatan lebih tersusun, lengkap dan berdaya saing.
Pusat kanser tersebut diyakini dapat memperkukuhkan ekosistem kesihatan negeri selain menawarkan pilihan lebih luas kepada masyarakat untuk mendapatkan saringan dan rawatan kanser secara komprehensif, jelas YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor.
Selaras komitmen Kerajaan Negeri memperluas akses kesihatan, Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor akan dibuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa pengecualian, manakala sebahagian slot rawatan turut diperuntukkan kepada golongan memerlukan bagi memastikan kebajikan dan akses pesakit terus menjadi keutamaan.
Untuk rekod, Johor telah mempunyai kepakaran onkologi melalui kemudahan seperti Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Pakar Regency, namun rawatan tersebut beroperasi dalam ekosistem hospital dan bukan sebagai pusat kanser khusus seperti yang diwujudkan menerusi Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor.
Mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong adalah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Turut berangkat, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Berangkat sama, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim Tunku Putera Johor. Turut hadir, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
#JohorSafeZone #PusatKanserTunkuLaksamanaJohor #SistemKesihatanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


