JOHOR PERKASA HALAL DI SEKOLAH AGAMA DAN PEMBEKAL MAKANAN

YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor mempengerusikan Mesyuarat Majlis Halal Negeri Johor Bil. 2/2025 di Tunamaya Beach & Spa Resort, Desaru, hari ini. | Foto Aisyah Mazlan.
#KotaTinggi – Ekosistem halal Negeri Johor terus diperkukuh melalui pemerkasaan milikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) dan pembekal makanan kepada jabatan serta agensi di bawah portfolio Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.
Semua jabatan dan agensi di bawah portfolio Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor diwajibkan melantik pembekal makanan bersijil halal bagi semua urusan penyediaan makanan di peringkat daerah mulai tahun hadapan.
Langkah tersebut adalah selaras dengan agenda memperluaskan pematuhan halal menyeluruh dan menyokong Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor (PKHNJ) 2030 yang menyasarkan 5,000 pemegang sijil baharu menjelang tahun 2030.
Selain itu, sebanyak 68 sekolah agama telah menerima sijil halal sehingga kini, manakala 153 sekolah agama lagi disasarkan untuk menerima pengiktirafan berkenaan sebelum penghujung tahun ini dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Islam Johor (PIJ) memperuntukkan sebanyak RM3,000 kepada setiap sekolah penerima sijil halal untuk memperkemaskan fasiliti kantin dan meningkatkan standard penyediaan makanan murid.
Terdahulu, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor mempengerusikan Mesyuarat Majlis Halal Negeri Johor Bil. 2/2025 di Tunamaya Beach & Spa Resort, Desaru, hari ini.
#JohorSafeZone
#HalalJohor
#SekolahAgama
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



