37 PESERTA BERGELAR ALUMNI SULUNG JOHOR YOUTH PATRIOT

YB Dato’ Haji On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) merasmikan Majlis Penutup Program JYP Siri 1/2025 di Savanna Hill Resort, Ulu Tiram. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Seramai 37 peserta berjaya menamatkan latihan Johor Youth Patriot (JYP) Siri 1/2025 sekali gus diiktiraf sebagai alumni sulung program berkenaan yang julung kali dianjurkan oleh Kerajaan Negeri melalui Institut Dato’ Onn (IDO).

 

Program berteraskan pembentukan kepimpinan diri melalui pendekatan latihan ketenteraan dan penghayatan nilai kenegaraan ini berlangsung selama 11 hari bermula 2 Disember lalu hingga hari ini.

 

Sepanjang program, peserta mengikuti rangkaian modul berstruktur yang dirumus secara komprehensif bagi melahirkan belia berwawasan, berdaya tahan dan mempunyai disiplin tinggi.

 

Keistimewaan penganjuran JYP terserlah melalui penyertaan peserta dalam Modul Eksklusif Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ) iaitu satu-satunya latihan ketenteraan rasmi yang mendapat sokongan Institusi DiRaja Johor.

 

Modul tersebut merangkumi pendedahan kepada disiplin dan kawad asas ketenteraan, latihan pengurusan kecemasan dan keselamatan, aktiviti berpasukan berintensiti tinggi, taktikal asas pertahanan serta pemahaman terhadap etika dan protokol ketenteraan Johor.

 

Pembangunan modal insan belia melalui program seperti JYP merupakan landasan penting dalam melahirkan generasi pemimpin masa hadapan berwibawa, matang, berintegriti dan memiliki jati diri kukuh seterusnya memperkukuh kesetiaan kepada negeri serta tanah air.

 

Momentum penganjuran JYP Siri 1 turut diteruskan dengan pelaksanaan Siri 2 dijadualkan bermula Ahad ini, yang mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri memperluas capaian program dan memperkukuh pembangunan belia berkualiti tinggi di negeri ini.

 

Terdahulu, YB Dato’ Haji On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) merasmikan Majlis Penutup Program JYP Siri 1/2025 di Savanna Hill Resort, Ulu Tiram. Turut hadir, YBhg. Tuan Haji Ts. Mohd Johari Tarmidi, Pengarah IDO.

 

#JohorSafeZone
#JYPSiri1/2025
#IDO
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor