PENJAWAT AWAM PERSEKUTUAN DI JOHOR RASA DIHARGAI

Zainura Ali, (tengah) Penolong Pegawai Komuniti dan Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Simpang Renggam, menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan Kerajaan Johor yang mengambil kira kebajikan penjawat awam Persekutuan. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Pemberian insentif khas bernilai RM500 yang diberikan Kerajaan Johor kepada 140,185 penjawat awam Persekutuan dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM70.1 juta disifatkan membantu meringankan beban serta tanda penghargaan kepada golongan berkenaan.
Ia secara tidak langsung turut membangkitkan semangat mereka untuk terus memberi khidmat terbaik termasuk menyokong usaha kolektif bagi menyediakan perkhidmatan awam yang lebih responsif.
Bagi Mohd Hafiz Razib, Pembantu Kesihatan Awam, memberitahu pemberian insentif khas yang julung kali disalurkan oleh Kerajaan Negeri secara tidak langsung mencerminkan nilai kebersamaan kepimpinan negeri dalam memastikan para penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor terus diberi suntikan motivasi untuk meningkatkan prestasi, sekali gus mengukuhkan komitmen berkhidmat demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.
Beliau yang berkhidmat sebagai petugas kesihatan selama lebih 10 tahun turut menyifatkan inisiatif murni Kerajaan Johor ini sebagai satu pengiktirafan serta penghargaan bermakna terhadap pengorbanan dan komitmen penjawat awam, seterusnya menyuntik semangat baharu untuk terus melaksanakan amanah dengan lebih berdedikasi.
Sementara itu, Zainura Ali, Penolong Pegawai Komuniti dan Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Simpang Renggam, menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan Kerajaan Johor yang mengambil kira kebajikan penjawat awam Persekutuan, selain menyifatkan bantuan berkenaan sebagai sokongan moral penuh makna dalam menyemarakkan semangat untuk terus berkhidmat dengan penuh tanggungjawab kepada masyarakat setempat.
Zainura turut menghargai inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) kepada sukarelawan KEMAS di Johor bernilai RM600 kepada lebih 1,173 sukarelawan melibatkan peruntukan berjumlah RM704,000. Inisiatif ini menunjukkan komitmen serta keprihatinan berterusan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan golongan yang turut menjadi tulang belakang pelaksanaan program kemasyarakatan di peringkat akar umbi.
Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM170 juta pada Belanjawan Johor 2026 bagi melaksanakan inisiatif BKJ yang melibatkan lebih 330,000 penerima daripada pelbagai latar belakang di seluruh negeri ini. Inisiatif BKJ ini juga menjadi cerminan kasih sayang dan selaras dengan komitmen Kerajaan Johor untuk memulangkan kembali hasil negeri kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif yang mampu memberi manfaat besar untuk Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BantuanKasihJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


