KEBAKARAN TANAH GAMBUT DI PENGERANG DIPADAM SEPENUHNYA

Kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya hasil tindakan bersepadu agensi berkaitan. | Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor

 

#IskandarPuteri – Kejadian kebakaran tanah gambut di kawasan Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang, Kota Tinggi telah berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya hasil tindakan bersepadu jabatan serta agensi kerajaan yang berkaitan.

 

Susulan kejayaan operasi pemadaman itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan perumahan penduduk yang terjejas sebelum ini telah menunjukkan trend penurunan dan kini berada pada paras normal.

 

Berikutan perkembangan positif itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi juga bersetuju menutup dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Dewan Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal pada jam 10 pagi, hari ini.

 

Terdahulu, kejadian kebakaran yang bermula pada 23 Januari lalu itu dipercayai berpunca daripada keadaan cuaca panas dan kering serta angin kencang yang mencetuskan kebakaran bawah tanah gambut di kawasan Lot 987, Lot 1015, Lot 1018 dan Lot 1017 di Mukim Pantai Timur, Pengerang.

 

Penutupan PPS ini mencerminkan keberkesanan tindakan pengurusan bencana yang dilaksanakan secara pantas dan terkoordinasi bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara.

 

#JohorSafeZone
#Pengerang
#Kebakaran
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor