JOHOR AKTIFKAN TASKFORCE KHAS TANGANI KEBAKARAN TANAH GAMBUT

Taskforce Khas tersebut akan bertanggungjawab mempercepat mobilisasi aset, memperkemas logistik, menyelaras pengurusan operasi dan memastikan aspek pemantauan dijalankan secara bersepadu sehingga api dapat dipadam sepenuhnya. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor telah mengaktifkan sepenuhnya Taskforce Khas Kebakaran Negeri bagi menyelaras semua tindakan pemadaman kebakaran tanah gambut susulan keadaan cuaca panas dan kering berpanjangan yang melanda negeri ini.
Taskforce Khas tersebut akan bertanggungjawab mempercepat mobilisasi aset, memperkemas logistik, menyelaras pengurusan operasi dan memastikan aspek pemantauan dijalankan secara bersepadu sehingga api dapat dipadam sepenuhnya.
Tiga kawasan utama terlibat kebakaran tanah gambut iaitu Bakri Batu 13 dan 14 di Muar, Bio-Desaru di Tanjung Balau serta Sungai Linau di Simpang Renggam, dengan keadaan masih terkawal dan operasi pemadaman sedang dijalankan secara berterusan 24 jam sehari sehingga api dapat dipadam sepenuhnya.
Operasi tersebut melibatkan lebih 300 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi berkaitan.
Operasi pemadaman ini diperkasakan melalui kaedah total flooding, pembinaan ‘fire break’ serta penggunaan pam bertekanan tinggi, manakala bekalan air tambahan digerakkan dari sumber berhampiran dan tangki simpanan dengan kos operasi ditanggung daripada Tabung Bencana Negeri Johor, selain permohonan juga telah dikemukakan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi operasi pembenihan awan untuk meningkatkan kelembapan kawasan terjejas.
Pemantauan menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) juga masih berada pada tahap terkawal, manakala paras takungan empangan dan kolam tadahan utama negeri mencukupi untuk keperluan domestik dan harian, dengan orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta segera melaporkan sebarang tanda kebakaran kepada pihak berkuasa.
Kerajaan Johor menegaskan bahawa operasi pemadaman akan diteruskan sehingga kebakaran dipadam sepenuhnya dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
#JohorSafeZone
#ElakPembakaranTerbuka
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



